SOFIA, BULGARIA

Sebelum ini saya tidak pernah memasang angan-angan atau mempunyai impian untuk ke Bulgaria. Nama dan negara Bulgaria terlalu asing bagi saya. Sehinggalah pada suatu hari di tahun 2015 saya berkesempatan untuk menonton filem hindustan blockbuster hebat yang bertajuk Dilwale di pawagam tempatan. Apa yang paling menarik perhatian saya dan rakyat Melayu di Malaysia yang beramai-ramai berpusu-pusu sanggup berbaris panjang semata-mata untuk menonton filem hindi ini adalah kerana filem ini menggandingkan semula pasangan paling serasi sepanjang zaman di dalam filem hindustan dan semestinya menjadi pujaan hati ramai orang iaitu Shah Rukh Khan dan Kajol.

Dari filem itu baru saya tahu kewujudan negara Bulgaria dan bandar Sofia merupakan ibu negara Bulgaria! Apa yang lebih mengejutkan saya, negara Bulgaria merupakan negara jiran negara Turki dan terletak sangat berdekatan dengan Istanbul. Sementelah itu, saya pun mula berangan-angan untuk menjejakkan kaki saya di Sofia, Bulgaria suatu hari nanti dengan menaiki bas ataupun keretapi dari Istanbul, Turki. 

Akhirnya impian yang saya sematkan di dalam dada yang paling dalam tercapai juga pada penghujung tahun 2019 sebelum dunia dilanda zaman kegelapan virus COVID-19. Pada pertengahan bulan Disember 2019 saya telah terbang ke Istanbul dengan menaiki pesawat kebanggaan negara Kazakhstan iaitu Air Astana dengan harapan untuk berjumpa dengan kesayangan saya di sana, bersilaturrahim dengan sahabat-sahabat Turki dan Kurdish saya yang berada di Istanbul dan Bursa, melawat Abi, hoja dan dersana, melihat kesibukan kota Istanbul, minum kopi panas turki yang pekat dan likat, menikmati kesejukan angin Laut Marmara dan menjadi pelancong buat kali ketiga di bandar metropolis Istanbul.

Paling penting sekali, kaki saya akan melangkah dengan lebih panjang sedikit pada percutian ke Turki kali ini. Saya akan menjelmakan mimpi saya empat tahun yang lepas untuk ke Sofia, Bulgaria dengan menaiki keretapi dari Istanbul!

"Bermimpilah, kerana tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu"


Melawan kedinginan malam di sempadan Turki - Bulgaria demi sekeping kenangan

Comments

Popular Posts