FILEM REVIEW: MARRIAGE STORY



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Saya baru sahaja, yup baru sahaja dalam lima minit yang lepas habis menonton filem terbaharu di Netflix yang bertajuk Marriage Story. Filem ini berjaya menarik minat saya untuk menontonnya kerana filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon yang hebat lagi berbakat besar iaitu Scarlett Johansson dan Adam Driver. Ditokok tambah pula, filem ini merupakan salah satu calon filem untuk memenangi Golden Globe Award. Mesti ada aura, magik atau faktor X yang mashaallah hebat di dalam filem ini. 

Secara tuntasnya, filem ini mengisahkan tentang susah payah, jerih perih, liku-liku, kekecewaan, pengorbanan, kekesalan, duka, lara, kebuntuan yang terpaksa dihadapi oleh seseorang dan pasangannya ketika dalam proses penceraian atau perpisahan. 

Kenapa perlukan penceraian dan perpisahan andai setiap perkara atau masalah boleh diselesaikan?

Filem ini menceritakan tentang sepasang suami isteri yang sangat mencintai satu sama lain. Suka sama suka. Jatuh cinta pandang pertama. Sangat sangat melengkapi diantara satu sama lain. Tetapi air tidak selalunya pasang, hujan tidak selalunya turun, matahari tidak selalunya terik, tekak tidak selalunya basah, mata tidak selalunya segar, minda tidak selalunya tajam, mulut tidak selalunya sedap. Begitu juga cinta dan perasaan, tidak selalunya berbunga-bunga.

Si isteri terasa diabaikan, tidak didengari, terbeban, sedih dan tertekan dalam perhubungan, rasa kehidupan tidak berkembang dan seperti yang dia inginkan. Si suami pula sibuk dengan kerjaya, ingin mencukupi keperluan keluarga, rasa dikawal, tidak dipercayai, keperluan zahir dan batinnya terabai.

Akhirnya si isteri ingin berpisah. Bermula dari titik itu, kehidupan pasangan ini berubah seratus peratus. 


Kedua-dua pelakon hebat ini berjaya membawa, menghidupkan dan menjiwai watak yang diberikan dengan hebat sekali sehingga berjaya memberi kesan kepada saya. 

Apa yang boleh saya katakan dari filem Marriage Story ini:

Kadang-kadang kita rasa jalan yang paling mudah, senang, tepat dan betul untuk setiap permasalahan, salah faham dan keretakan dalam perhubungan adalah dengan berbaik semula. Tetapi sebenarnya, ianya mungkin mudah, senang, tepat dan betul bagi kita tapi bukan pasangan kita. 

Salah satu kepahitan kebenaran yang terpaksa dihadam.

Betul setiap masalah ada penyelesaiannya.
Tetapi penyelesaian bagi setiap permasalahan itu mungkin tidak seperti yang kita inginkan, mahukan, dambakan, rancangkan dan hendakkan.

Comments

Popular Posts