BAHAGIA 1
Pernah tak dalam hidup kita yang singkat ini, kita merasakan suatu rasa yang sukar digambarkan yang merupakan gabungan rasa seronok, gembira, riang, bebas, merdeka, cukup, puas, lengkap dan sempurna? Itulah yang dikatakan bahagia.
Saya pernah. Berkali-kali.
Cerita bahagia saya yang pertama
Semasa saya di sekolah rendah saya merupakan salah seorang atau hanya seorang sahaja murid yang mendapat markah tercorot di dalam setiap ujian subjek Bahasa Inggeris walaupun saya berada di kelas yang pertama. Saya hebat dalam subjek Bahasa Melayu, saya pakar dalam subjek Matematik, saya suka subjek Sains tapi saya selalu gagal dalam subjek Bahasa Inggeris. Saya tak tahu kenapa. Bayangkan kebanyakan sahabat-sahabat saya di dalam kelas 6 Bijak (kelas pertama di sekolah saya) mendapat keputusan A ataupun B dalam subjek Bahasa Inggeris tetapi saya mendapat D dalam ujian percubaan UPSR. Saya malu. Saya segan. Saya rasa kerdil.
Saya ingat lagi bagaimana rasa bersalahnya saya kerana telah menjadi punca yang menyebabkan keputusan keseluruhan kelas saya tidak cantik graf barnya. Disebabkan itu cikgu Bahasa Inggeris saya iaitu Teacher Noraida yang sekejap garang dan sekejap penyayang telah mengasingkan saya dan memasukkan saya ke dalam kelas pemulihan Bahasa Inggeris. Jadi, selepas waktu pembelajaran harian saya dikehendaki untuk menyertai murid-murid dari semua kelas darjah 6 yang lemah dan lembam untuk belajar bersama-sama dalam satu kelas.
Secara jujurnya saya sangat suka belajar Bahasa Inggeris. Saya selalu ingin memperbaiki kehebatan penguasaan Bahasa Inggeris saya tetapi saya masih dan terus lemah dan gagal. Saya selalu meminjam novel Bahasa Inggeris di perpustakaan sekolah seperti Penyiasat 5 Sekawan, C.S Lewis, Charlotte's Web dan juga membaca, membelek dan menyelak surat khabar Bahasa Inggeris tetapi markah ujian saya masih di takuk yang lama.
Saya selalu cemburu bila melihat kawan-kawan di kelas saya petah berbahasa inggeris. Contohnya kawan rapat saya iaitu Siti Aisyah yang lancar bercakap dan bergaduh dalam Bahasa Inggeris. Lagi hebat dia juga boleh menyanyi bait-bait dan patah-patah lagu inggeris kesukaannya dari kumpulan Westlife, Blue, Christina Aguilera dan Britney Spears. Tetapi saya lagu inggeris pun tak pernah dengar dan tahu. Di rumah, kami sekeluarga selalu mendengar lagu dari kumpulan Raihan dan Rabbani. Selepas radio abah rosak terus sunyi sepi rumah kami.
Alhamdulillah berkat azam, iltizam, semangat dan usaha saya berjaya mendapat keputusan yang sangat cemerlang bagi saya iaitu 4A 1B di dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR). Saya dapat B dalam subjek Bahasa Inggeris, bukan D ye. Saya berjaya meletakkan diri saya sebaris dengan sahabat-sahabat saya yang hebat dari kelas 6 Bijak. Pada masa itu murid-murid yang mendapat keputusan 5A dan keputusan 4A 1B dalam peperiksaan UPSR merupakan murid yang hebat. Apa yang lebih membanggakan lagi apabila saya berjaya memperbaiki keputusan peperiksaan percubaan UPSR saya terutamanya subjek Bahasa Inggeris.
Saya tidak pernah menyangka saya akan dapat merasa naik pentas di sekolah saya semasa majlis pengumuman keputusan UPSR walaupun saya pergi ke sekolah seorang diri ketika itu. Saya berjaya buktikan pada Cikgu Norida yang saya bijak Bahasa Inggeris dan jangan sekali-kali memandang rendah pada saya. Saya berjaya buktikan yang saya boleh kepada cikgu kesayangan saya iaitu Cikgu Kamarulzaman.
Saya ingat lagi doa saya di setiap sujud terakhir solat saya.
"Ya Allah berilah aku keputusan 5A dalam UPSR. Kalau tak dapat 5A pun berilah aku 4A1B je Ya Allah"
Allah makbulkan doa saya yang kedua dan saya merupakan insan yang paling bahagia pada hari tersebut.
Gambar saya ketika darjah 6 |
Comments
Post a Comment