KOPIRIDE
Assalamualaikum semua. Sedar tak sedar sudah lama saya tidak mencoretkan apa-apa diruangan blog ini. Hari berganti hari, malam berganti siang, sedar-sedar sudah pagi, pagi berarak petang, hujan lebat berganti renyai. Perkara yang sama berulang setiap hari, ulangan membentuk rutin, rutin menjelma tabiat, tabiat menjadi peribadi. Luka mengering sembuh.
Sudah lama saya tidak menulis di ruangan blog ini. Menulis merupakan peribadi saya. Menjadi perkara yang salah, resah dan gundah jikalau saya menepikan peribadi saya ini. Sama juga seperti berbasikal. Sudah lama saya tidak berbasikal, mengakibatkan dalaman diri saya melonjak-lonjak dan meronta-ronta untuk keluar mengayuh mengoyakkan otot di peha saya ini. Peribadi ini juga tidak boleh saya sepikan.
Akhirnya pada pagi Ahad yang lepas, saya berjaya mengikut kata hati saya, mematuh bisikan naluri saya, mendengar monolog dalaman saya dan mengiakan kemahuan diri saya untuk keluar berbasikal!
Akhirnya, tepat jam 0730 pagi saya mula mengayuh. Kuala Lumpur masih sepi. Langit mendung. Angin sejuk pagi meniup nyaman. Udara masih segar dan basah. Bau rumput hijau dan kayu lembab menerpa rongga hidung, bunyi kriuk kriuk perut saya memecah kesepian Kuala Lumpur. Kaki tetap mengayuh lancar.
Tiba-tiba titisan halus air hujan yang dingin menerpa pipi saya. Kemudian di lengan yang terdedah tanpa seuras benang. Kemudian di leher yang memberi sedikit rasa perit. Makin lama makin menebal titisan halus hujan tersebut dan semakin deras. Kaki tetap mengayuh lancar.
Di Dataran Merdeka yang bersejarah saya bergabung dengan teman-teman cyclist tegar saya iaitu @ekstagram, @yellowscarab, @gibberishrubbish dan @nikadamahmad untuk bersama-sama menjelajah bandaraya Kuala Lumpur di pagi yang indah ini dengan Kopiride!
Tempat wajib bergambar..KLCC! |
Pagi yang indah |
Memperkenalkan Kopiride |
Geng pagi ini. Nadiah, saya, Eka, Iqbal, Adam dan isteri Adam |
Tuntasnya, pada pagi yang indah ini, saya telah membuat keputusan yang indah iaitu untuk keluar berbasikal bersama teman-teman saya yang indah yang telah memberi perasaan, pengalaman dan pemikiran yang indah buat saya dan akhirnya saya dapat berkongsi keindahan ini bersama insan-insan indah yang hadir di dalam hidup saya. Indah kan?
12 Julai 2020, MSAH
Comments
Post a Comment