BACKPACKING KE PEKAN BARU DAN BUKITTINGGI, INDONESIA


Minuman special dari Minang di Keramat

"Ude nak balik."

"Ha..? Nak balik apenye baru sampai ni."

"Nak balik juga!! Tapi taknak balik ikut Pekan Baru."

"Abistu nak balik ikut mana? Berenang? Terbang?"

"Ikut je lah mana-mana. Kita balik ikut Padang. Asalkan tak naik van pusing-pusing tu."

Sedang saya menikmati teh manis special minang di gerai di tepi jalan yang terletak di hadapan kedai repair kasut di Keramat, tiba-tiba minda saya diterpa memori yang lucu tersebut. Mungkin kekelatan buah pinang dan kehanyiran telur itik mentah di dalam teh ini yang telah merangsang dan menyambungkan kembali neuron-neuron di dalam otak saya dan membangkitkan kembali nostalgia saya dan adik saya (Ude) berbackpacking di Pekan Baru dan Bukittinggi, Indonesia pada 8 tahun yang lalu iaitu 1 hingga 3 Februari 2013.

Kembara secara backpacking ini merupakan kembara pertama yang saya lakukan dengan adik saya. Kami berdua ketika itu masih lagi bergelar 3M iaitu mahasiswa, muda dan miskin. Dengan tekad dan kegigihan, kami bersama-sama merebut tiket penerbangan promosi airasi yang termurah dan terawal waktu penerbangannya. Maka terbanglah kami dengan doa dan tawakkal di subuh hari dengan menaiki pesawat Boieng AirAsia dari Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Sepang ke Sultan Syarif Kasim II International Airport of Pekan Baru.

Perjalanan dari kota Pekan Baru, Indonesia ke bandar yang terletak di kawasan tinggi pergunungan yang berdekatan dengan Gunung Merapi dan Gunung Singgalang iaitu Bukittinggi, Indonesia memakan masa lebih kurang 7 hingga ke 8 jam perjalanan dengan menaiki mini van yang juga di panggil angkot-angkot di sana. Ditambah pula dengan kesesakan jalanraya, jalan yang bersimpang siur, jalan yang berbukit bukau, jalan yang tidak berturap penuh dan jalan yang berlopak malah berkawah membuatkan perjalanan kami sangat mencabar. Ditambah pula dengan muatan penuh penumpang mini van, seramai 3 penumpang duduk di kerusi paling belakang, 3 penumpang di bahagian kerusi kedua belakang, 3 penumpang dibahagian kerusi tengah dan 2 penumpang dan seorang pemandu dibahagian hadapan mini van. Menjadikan jumlah penumpang seramai 12 orang. Belum lagi dikira dengan beg-beg yang besar dan sarat, burung yang berkicauan di dalam sangkar dan sayuran yang berguni-guni di dalam mini van tersebut. Kami pasrah bermusafir di pekat malam hari dari Pekan Baru dengan harapan dapat melihat sinar subuh di bandar Bukittinggi keesokkan harinnya.

Apabila mini van membelok ke kiri, kami beramai-ramai akan menghimpit-himpit dan bergesel-gesel dengan penumpang di sebelah kanan. Apabila mini van membelok ke kanan, kami akan beramai-ramai menyenget ke kiri dan menghempap bapak dan mbah yang berada di sebelah kiri kami. 

Walaupun di kiri dan kanan kami diselubungi kepekatan hitam malam, kesunyian margestua dan ditambah pula dengan kedinginan pergunungan, tetapi kami semua tidak mengantuk sedikit pun kerana mungkin disebabkan akibat ketakutan sebanyak 60% manakala 40% lagi disebabkan kami dihiburi dengan lagu-lagu Indonesia terbaharu, terpopular dan terhits yang bergema riang di corong speaker mini van sepanjang perjalanan kami yang penuh liku, belok, break dan bau asap.

Ketika inilah saya pertama kali mendengar lagu Kehilangan nyanyian Firman.

"Mas...lagu apa ye ni? Boleh saya tahu nama lagu ini?" Sapa saya bersahaja kepada pemandu angkot-angkot dengan sedikit rasa malu.

"Ooo...ini lagunya apa ya. Aduhh..hilang barangkali." Balas pemandu angkot-angkot tersebut sambil menghembuskan asap rokok berkepul-kepul. 

"Orang Malaysia rupanya. Ingatkan anak Bandung." Tiba-tiba mbah disebelah saya menyapa sambil tersenyum-senyum kerang.

"Ye betholl." Balas saya ringkas dan masih berharap ada siapa-siapa di dalam mini van ini yang dapat meleraikan persoalan saya pada malam itu. Sudah tiga kali lagu tersebut berputar di corong radio pada malam yang hening ini dan setiap kali itu juga saya terbuai perasaan olehnya.

"Itu lagu si Firman tuhh. Aduhh...tajuknya Kehilangan yaa." Tiab-tiba ada suara laki-laki dari belakang yang menjawab tanpa disoal. 

Selepas itulah adik saya iaitu Ude muntah hijau.



Dahulu setiap kali berpeluang untuk mengembara ke negara orang dan merantau di tempat asing, saya pasti akan memperuntukkan sedikit duit saya yang berpoket nipis ini untuk membeli satu cenderamata, ya satu sahaja untuk diri saya sendiri sebagai kenang-kenangan, ingat-ingatan dan tatap-tatapan di masa hadapan. Saya pula jenis yang bukan mudah untuk membuang barang, lagi-lagi jikalau barang tersebut memberi nilai sentimental kepada saya. Lihatlah baju t-shirt Bukittinggi ini, walaupun sudah 8 tahun umurnya dan 8 tahun sudahpun berlalu tetapi t-shirt ini masih lagi elok untuk di pakai dan elok di dalam simpanan saya. 

Saya masih ingat lagi detik-detik lucu ketika saya dan adik saya membeli  baju t-shirt ini. Ketika itu masih lagi pagi hari. Semua pengusaha atau penjual di pasar cenderahati di Bukittingi baru sahaja beroperasi. Ada yang baru memasang khemah, ada yang masih meletakkan guni-guni berisi kain dan barang jualan di tapak khemah, ada yang sedang menggantungkan barang jualan dan ada juga yang sedang bersila makan pagi di khemah yang masih belum sempurna susunannya. Saya dan adik saya nekad untuk keluar dari hostel kami untuk memulakan kembara seawal pagi untuk memaksimakan masa yang kami ada di Bukittinggi ini.

Pelbagai barangan yang dijual di sini. Makanan basah, makanan kering, kerepek-kerepek, buah-buahan aneka jenis, hasil kraf kayu, key-chain, kain batik, telekung, seluar bercorak batik, pelbagai jenis air buah-buahan, baju kemeja, baju tshirt dan yang paling menarik perhatian saya dan adik saya adalah baju t-shirt dengan tulisan Bukittinggi tersebut. 

Disebabkan banyak gerai yang menjual t-shirt yang sama yang kami mahukan tersebut. Jadi kami pun mula membuat tinjauan harga dari satu gerai ke satu gerai yang lain untuk mendapatkan harga yang terbaik yang sesuai dengan keadaan poket mahasiswa dari Kampung Lekir ini. 

"Selamat pagi Bapak...boleh tahu berapa harga baju ini?"

"Murah-murah aja...50 ribuan aja."

"Oooo...boleh murah lagi? Kami masih student ni. Dari Malaysia lagi"

"Boleh..boleh..boleh."

"Bapak kasi harga special pagi ini untuk anak Malaysia. 35 ribuan sahaja sehelai!"

"Woah....okey. Tapi saya mahu jalan-jalan dulu ya."

"Belilah terus. Ini harga yang paling murah ini, nggak ada yang berani buka harga begini."

Tetapi kami tetap berlalu pergi meninggalkan bapak tua yang mesra dan bersungguh-sungguh ingin menjual baju tshirt tersebut sebagai jualan pertama pada pagi itu kepada kami. Baru saya tahu bahawa peniaga dan penjual di sini percaya bahawa pelanggan pertama merupakan pelanggan yang penting. Mereka percaya, pelanggan yang pertama membeli jualan mereka merupakan pembawa tuah dan pembawa rezeki kepada jualan mereka untuk hari tersebut. Malangnya saya dan adik saya masih membuat keputusan untuk melihat-lihat dan mencari gerai yang menjual baju t-shirt tersebut dengan harga yang lebih murah. Ya auloh!

Ternyata bapak tadi sangat ikhlas. Kebanyakkan penjual di gerai lain masih berkeras untuk menjual baju tshirt tersebut dengan harga 50 ribu rupiah. Paling murah kami dapat pun dengan harga 40 ribu rupiah itupun jikalau kami membeli 5 helai tshirt ataupun lebih. Akhirnya kami berpatah balik dan berjumpa dengan bapak tadi. Saya telah membeli tshirt Bukittinggi berwarna putih dan adik saya pula berwarna hitam. Bapak membungkus tshirt kami dengan muka yang kelat dan masam.









Comments

  1. first sales ... pecah telur istilahnya di indonesia. pengalaman aku di pasar ubud bali pun sama. mbak kedai terus menyapu-nyapu duit hasil jualan dgn aku ke barang2 jualanya yg lain. amik berkat pecah telur katanya 😁

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oooo...Ha’ah betul tu. Baru ingt!! Tq bro!

      Delete
    2. 😁 stalked your blog. baru prasan solo trip 2019 tu mcm trip aku jer gak. hehe. cover turkey n sofia.

      anyway thanks to you...tetiba jd rajin nk menulis balik dan membersihkan sawang2 🤣🤣. been a while micro blogging kat ig. hehehe.

      Delete
  2. first sales ... pecah telur istilahnya di indonesia. pengalaman aku di pasar ubud bali pun sama. mbak kedai terus menyapu-nyapu duit hasil jualan dgn aku ke barang2 jualanya yg lain. amik berkat pecah telur katanya 😁

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts