MR NOMI


Saya tidak pernah menyangka saya akan memiliki seekor kucing. Saya merupakan tuan kepada seekor kucing. Saya merupakan bapa kepada kucing saya. Saya akan disambut oleh kucing apabila pulang ke rumah. Saya ada kucing untuk bermain. Saya ada kucing untuk dipeluk ketika menonton televisyen. Saya ada kucing yang akan mengiaw meminta makanan. Saya ada kucing yang akan kejutkan saya setiap pagi pada pukul 5 pagi dengan menggeselkan hidungnya pada hidung dan mulut saya. Saya ada kucing yang akan membebel bila saya tidur seharian. Saya ada kucing yang melompat-lompat keriangan apabila saya berjalan ke dapur. Saya ada kucing yang akan sentiasa duduk dan baring dihadapan saya. Saya ada kucing yang selalu merebahkan badannya di badan saya, riba saya, peha saya dan kaki saya, Ye itulah Mr Nomi, kucing peliharaan saya.

Bila terfikirkan perkara ini boleh membuatkan saya tersenyum tersipu-sipu keseorangan.

Siapa sangka Mr Nomi, seekor kucing siam berjaya mengubah hidup saya. Dari seorang yang kosong kepada seorang yang terisi sedikit. Dari seorang yang tiada tanggungjawab kepada seorang yang lebih bertanggungjawab. Dari seorang yang individualistik kepada seorang yang kucinglistik. Dari seoarang yang tidak berkala pulang ke rumah kepada seorang yang wajib balik rumah selang sehari sekurang-kurangnya. Dari seorang yang muram kepada seorang yang ceria. Dari seorang yang tidak bererti menjadi lebih bererti. Dari seorang yang kelam menjadi seorang yang terang. Dari seorang yang tidak tahu menyalurkan kasih dan sayang menjadi seorang yang berkasih sayang semula. 



Alhamdulillah Mr Nomi merupakan kucing yang terpelajar dan terdidik. Pada mulanya saya meragui kebijaksanaan Mr Nomi. Disebabkan sangkar untuk Mr Nomi belum sampai, jadi pada hari pertama saya membawa Mr Nomi pulang ke rumah, saya telah membuat keputusan untuk mengurung Mr Nomi di dalam tandas bilik utama saya. Saya risau jikalau Mr Nomi berak merata-rata dan membuang air kencing di atas sofa IKEA saya yang memerlukan tiga bulan gaji saya untuk membelinya. Tapi rupa-rupanya Mr Nomi merupakan kucing yang baik dan mempunyai kelasnya yang tersendiri. Mr Nomi hanya akan berak dan kencing di dalam bekas khas yang terisi pasir sahaja. Sejak dari itu saya tidak pernah mengurung Mr Nomi dan sangkar yang sudah dibeli tersebut terbiar tanpa tuan. Sehingga ke detik ini Mr Nomi tidak pernah berak atau kencing merata-rata. Hanya di dalam bekas plastik yang berisi pasir yang terletak dihadapan pintu dapur belakang.

Sebenarnya dahulu saya pernah membela kucing siam yang rupanya seakan-akan Mr Nomi yang sekarang iaitu Maia dan Nomi. Tetapi disebabkan dahulu saya sibuk sebagai seorang pelajar universiti, sibuk dengan kerja separuh masa di hujung minggu, sibuk dengan aktiviti universiti, sibuk dengan program volunteer, sibuk dengan kembara backpacking mengeliling dunia, sibuk dengan mencari diri sendiri menyebabkan saya tidak mempunyai banyak masa untuk bersama Maia dan Nomi. Sehinggalah Maia dan Nomi tidak lagi mengenali saya apabila saya pulang untuk berjumpa dengan mereka. Sehinggalah pada suatu hari saya mendapat perkhabaran yang menyedihkan apabila diberitahu Maia telah mati dimakan oleh anjing liar dan Nomi mati dilanggar kereta. 

Saya rasa bersalah dan bersalah

Sehinggalah saya nekad dan berniat, nanti apabila saya sudah bekerja, mempunyai pendapatan sendiri, memiliki rumah sendiri dan mempunyai kehidupan yang stabil saya mahu memelihara kucing saya sendiri. Saya berniat untuk menginfakkan sedikit dari gaji yang saya perolehi kepada kucing. Saya berniat untuk menginfakkan sedikit masa, tenaga dan kasih sayang saya kepada kucing iaitu haiwan kesyangan rasulullah ini. 

Alhamdulillah, Mr Nomi merupakan kucing pilihan. 

Mana tahu lepas ni akan ada Miss Maia pula.

Kemudian Jiji, Kiki







Comments

Popular Posts