1 MEI 2023

 Hari ini merupakan hari buruh. Hari yang sangat-sangat dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu oleh manusia seperti saya, yang hidupnya kais pagi makan pagi dan kasi petang makan petang, yang hidupnya perlu bekerja setiap hari untuk mencari rezeki, yang hidupnya bergantung kepada gaji yang dibayar oleh majikan pada setiap hujung bulan, yang hidupnya boleh diteruskan jika terus bekerja dengan gigih dan tekun, yang hidupnya perlu bekerja dari jam 0800 setiap pagi hingga jam 1700 setiap petang (itupun jikalau bernasib baik dapat pulang tepat pada masanya), yang hidupnya tidak bebas untuk ke sana dan ke sini, yang hidupnya perlu mengikut acuan, bentuk dan cara pihak atasan, yang hidupnya masih perlu memberitahu dan meminta kebenaran dari majikan jikalau hendak keluar ke bank, ke pejabat pos, ke bengkel kereta, ke pejabat yang lain, ke kafetaria dan malah ke tandas.

Beginilah nasib hidup sebagai seorang pekerja ataupun buruh. Cumanya saya bukanlah buruh kasar atau buruh paksaan. Diri dengan rela membenarkan diri untuk menjadi seorang buruh kepada orang lain, individu lain, majikan lain dan organisasi lain. 

Dahulu semasa saya di universiti, saya selalu mengikuti program-program, ceramah-ceramah ataupun seminar-seminar yang berkaitan keusahawanan dalam Bahasa Melayu ataupun dalam Bahasa Inggeris dipanggil entrepreneur. Semangat saya ketika itu sentiasa berkobar-kobar dan menggunung tinggi selepas mendengar perkongsian cerita kejayaan dan kecemerlangan daripada sosok seseorang usahawan. Tetapi disebabkan setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitulah juga semangat saya. Daripada menggunung tinggi lama-kelamaan menjadi membusut rendah. Daripada berkobar-kobar terus melayu-layu.

Walaupun sehingga ke detik ini saya masih lagi menjadi seorang buruh yang bermajikan, semangat untuk menjadi usahawan ataupun menjadi seorang bos yang berjaya dan majikan kepada individu lain tidak pernah padam, cuma masih belum dijelmakan lagi. Insyaalah suatu hari nanti. Kerana saya sentiasa percaya tuhan akan sentiasa akan memeluk mimpi-mimpi saya dan kita. Cuma kita tidak tahu bila masanya akan tiba. 




Comments

  1. Masanya akan tiba tepat pada waktunya. Waktu dimana DIA tahu kita dah bersedia untuk hadap cabaran dan rintangan sebagai usahawan :). InsyaAllah..

    ** i came across and read your story in alumni page. so..Hello!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts