AZAN






Sambil saya meneguk sedikit demi sedikit menikmati kemanisan dan kesedapan Wonda Kopi Premium Original kesukaan saya, sambil melihat ketenangan kota Kuala Lumpur melalui tingkap bilik saya, sambil bernafas tenang dan menghembus perlahan-lahan seperti perlahannya minda saya bekerja di waktu ini, sambil memikirkan liku kehidupan yang pelbagai yang terpaksa dan harus saya lalui. Sayup-sayup azan Asar berkumandang dari masjid Khalid Al-Walid. Masih berdiri. Masih bernafas. Masih membasahi tekak dengan kepekatan Wonda Kopi.

Datar.

Azan yang sama, waktu yang sama, detik yang sama, tujuan yang sama dan orang yang sama pada 10 tahun yang lepas sangat berbeza sekali pada hari ini. Laungan azan merupakan laungan keramat. Azan berkumandang merupakan nikmat. Bunyi azan merupakan suatu yang ditunggu dan diraikan. 

Ketika semua tengah lesu, buntu, lelap dan tepu dengan kelas Kimia yang diajar oleh Cikgu Fauziah. Laungan azan dari masjid At-Tarbiah, masjid asrama kami membenarkan untuk kelas dihentikan serta merta. Detik ini sangat ditunggu-tunggu dan diraikan oleh semua ahli kelas 4 Ibn-Khaldun dengan meletakkan kepala yang berat lagi sarat di atas meja berlapikkan lengan untuk lelap sebentar. Tidur sepanjang azan ketika waktu itu adalah suatu nikmat yang tidak terucapkan.

Laungan azan juga merupakan salah satu kunci azimat yang membolehkan kelas Al-quran dan As-sunnah yang diajar oleh Ustaz Kashfi berakhir awal dari waktu yang sebenarnya. Semua ahli kelas dilepaskan awal dan dibenarkan untuk ke masjid At-Tarbiah untuk solat berjemaah, membaca al-ma'thurat beramai-ramai dan terus pulang ke asrama untuk berehat. Azan memberi kami kegembiraan dan memberi kami lebih waktu untuk berehat.

Bunyi dehem oleh muazzin sebelum azan berkumandang dari corong pembesar suara masjid At-Tarbiah juga boleh menyebabkan semua aktiviti sukan di padang sekolah dihentikan serta merta. Saya sangat menanti-nantikan detik itu kerana saya memang tidak minat langsung bermain bola sepak dan malas melakukan apa-apa aktiviti sukan ketika itu, kerana saya malas untuk membasuh baju kotor akibat bersukan. Azan memberi sinar harapan untuk saya pulang awal ke asrama, pergi mandi awal di bilik mandi dan chop tempat untuk membasuh baju di bilik dobi sebelum pelajar dari kelas yang lain pulang. Azan penyelamat saya dan membuat rutin hidup saya berjalan dengan lancar.

Damba.


Saya rindu azan.






Comments

Popular Posts