HATI YANG KAU SAKITI - ROSSA
Saya meminati drama Korea atau K-drama sejak saya dari tingkatan 3 lagi. Diumur seawal 15 tahun saya membenarkan diri saya untuk menonton drama Korea, membuka mata saya untuk melihat keindahan Korea, menadah telinga saya untuk mengikuti lenggok percakapan bahasa Korea, mencelikkan minda saya untuk berangan ke Korea suatu hari nanti dan yang paling penting drama Korea telah berjaya membasahkan hati saya untuk mencari cinta sejati dan menjadi seorang yang sejati pada cinta. Tahniah Korea Selatan.
Pada masa itu kebanyakan rakyat Malaysia berpaksi kepada Sinetron Indonesia dan Telenovela Filipina. Bagi mereka drama Korea terlalu lembik, terlebih emosi, tangkap cintan dan meleleh. Adalah sesuatu yang janggal untuk menjadi peminat atau mengikuti drama Korea, lagi-lagi bagi seorang lelaki, maskulin dan teruna seperti saya. Tetapi semua anggapan itu tidak saya hiraukan seperti seperti air jatuh ke daun keladi, seperti mencurah air kopi di atas arang atau seperti marah pada ikan di dalam air. Sememangnya saya bukanlah seorang yang suka mengikut arus perdana, saya lebih suka memperdanakan arus saya sendiri. Jadi saya telah membuat keputusan untuk menonton drama Korea dan drama Korea yang pertama yang saya pilih untuk tonton adalah drama Sad Sonata. Sejak dari itu teman-teman di asrama mula gemar memanggil saya dengan beberapa nama;
"Shah jiwang!" Pekik Albab.
"Shah Kepop.....!! Teriak Fadlan Nisha
"Shah jambu.." Sapa Pi'e.
"Shah encemboi." Cakap Shah sendiri.
Disebabkan drama korea ini disiarkan setiap jam 6.30 petang pada hari sekolah dan disebabkan hanya televisyen di dewan makan milik Pak Samad iaitu pakcik dewan makan asrama kami yang sempoi dan suka usik buah orang yang hanya satu-satunya berfungsi, jadi saya terpaksa mengubah jadual hidup harian saya demi menjayakan matlamat hidup saya yang terbaharu iaitu menonton drama Korea ini di dewan makan asrama.
Antara pengorbanan yang saya kena lakukan adalah; Saya kena mandi awal. Saya kena bersiap awal. Saya kena pergi dewan makan awal. Saya kena menapak awal dari Dorm Suhaib ke dewan makan asrama. Lebih tragis lagi saya terpaksa melupakan sementara rutin saya yang dahulu iaitu meniarap di atas katil sambil membaca novel Ahadiat Akashah sehingga azan, mengusik dan mengejek rakan sedorm saya sampai lewat petang, mandi lama-lama dibawah shower tanpa kepala dengan tujahan air yang maha kuat, melepak di atas katil bercadar putih bersih sahabat saya di dorm lain sambil makan kerepek pedas, bertenggek di bahu koridor yang paling hujung dengan abang senior sambil menceritakan matlamat hidup.
Perkara yang paling penting yang terpaksa saya lupakan, saya tidak dapat lagi berehat-rehat, bercendoi-cendoi dan bersantai-santai duduk di atas satu-satunya kerusi batu marmar putih yang berada dikoridor dihadapan pejabat tadbir sekolah dan terletak dibelakang pentas perhimpunan sekolah sambil menghirup angin petang, melihat matahari terbenam, mengira berapa banyak kereta yang lalu di jalan raya besar, menunggu azan magrib berkumandang dan berkongsi kisah suka duka harian. Berdrama Korea tanpa sedar.
bersambung..
Comments
Post a Comment