PANTAI TELOK BATIK
Sejak zaman-zaman penularan wabak covid-19 ini rasanya sudah lama saya tidak keluar berlibur dan berhibur. Masa lebih banyak dihabiskan di bilik dan di rumah. Terkurung, mengurung dan murung. Sejak Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Menteri Pertahanan Malaysia yang baharu dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang disegani dan disayangi rakyat Malaysia memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk merentas negeri, meneruskan aktiviti harian seperti biasa, sekolah dibenarkan untuk kembali beroperasi, dah boleh minum dan melepak di dalam Starbuck kafe dan sektor pelancongan di dalam negara dibuka seperti biasa, barulah saya ada keberanian untuk berjalan-jalan. Dulu setakat nak balik kampung di Lekir, Perak pun takut sampai berfikir dua tiga kali tau!
Alkisah, pada cuti hujung minggu pada kali ini saya berpeluang untuk pulang ke kampung halaman saya, dimana tempat abah dan emak kesayangan saya menetap yang terletak di Kampung Lekir, Perak tu. Alkisah pada panas terik tengahari semalam iaitu pada hari Ahad saya dan keluarga berkesempatan untuk ke Pantai Telok Batik yang terletak di Lumut, Perak.
Tujuan kami sekeluarga ke sana bukanlah untuk mandi laut pun tetapi hanya sekadar untuk bertukar angin. Kami sudah jemu dengan angin panas Kampung Lekir dan mahu merasakan angin panas dan masin laut Pantai Telok Batik pula. Kami juga ingin mencapahkan penglihatan dengan melihat-lihat orang ramai yang berjalan, berlari dan bermandi-manda di pantai Telok Batik. Kami ingin bersantai dan terlelap di bawah teduhan pokok kelapa ataupun pokok rhu yang menghasilkan banyak buah durian mini. Kami ingin mencelup kaki ke dalam air laut masin yang bisa menghapuskan kudis-kudis kecil dan gatal-gatal kaki. Kami ingin meramas pasir pantai yang halus dan membuat betuk-bentuk aneh dari pasir pantai tersebut. Kami ingin merasa kembali bagaimana rasanya berebut-rebut makanan yang dibawa dari rumah dan makan beramai-ramai di atas tikar mengkuang yang kecil sambil minum air dari cawan plastik. Bersembang, bergurau dan bergelak tawa riang melawan bunyi ombak yang menderu.
Pantai Teluk Batik bukanlah asing bagi kami sekeluarga. Sejak dari kecil abah dan mak rajin membawa kami ke sini. Disebabkan pantainya yang bersih, ditambah pula berdekatan dengan rumah kami, menyediakan tempat letak kereta secara percuma dan bebas untuk berkelah ataupun bebas untuk membentang tikar mengkuang di mana-mana sahaja merupakan antara sebab Pantai Telok Batik menjadi pilihan kami sekeluarga untuk bercuti dihujung minggu. Disebabkan itu juga, setiap kali saudara mara disebelah abah mahupun disebelah mak yang datang berkunjung ke rumah kami, mereka juga akan dibawa ke Pantai Telok Batik bagi merasa bersama-sama keseronokan dan keindahan berkelah dan mandi air laut di Pantai Telok Batik.
Cuma sejak kami adik beradik meningkat dewasa, masing-masing sudah duduk jauh, saudara mara sudah jarang datang berkunjung ke rumah kami, sepupu tidak lagi memilih untuk bercuti dirumah kami ketika cuti sekolah, kami adik beradik terutamanya yang perempuan takut kulit menjadi hitam, berbelak, legam dan berbalam laut. Ditambah pula kami sekeluarga sudah berpindah ke rumah yang lain dan yang lebih jauh selepas abah pencen. Ditambah pula Pantai Telok Batik ditutup dalam tempoh yang lama tempoh hari untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikkan untuk menjadikan kawasan hadapan Pantai Telok batik sebagai Tapak Pantai Islam Hadhari menyebabkan Pantai Telok Batik terkeluar dari senarai tempat lepak dan berkelah kami sekeluarga.
Saya ingat lagi, dahulu kalau hari minggu jika Abah tidak bekerja pasti kami sekeluarga akan ke sini. Pagi-pagi mak dan abah akan pergi ke pasar pagi, berdua membonceng motosikal untuk membeli bahan mentah dan barang dapur untuk mak masak menu bekalan yang akan dibawa ke Pantai Telok Batik nanti. Sebelum masak Mak pasti akan keluarkan mangkuk tingkat Mak yang berwarna pastel merah jambu berselang warna biru pastel. Mangkuk tingkat tersebut sangat unik kerana hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh membukanya. Pernah dahulu saya telah mencuba dengan pelbagai cara sehingga berpeluh-peluh untuk membukanya tapi hasilnya tetap sia-sia, tetapi mak dengan gaya bersahaja boleh meleraikan mangkuk tingkat empat tingkat itu dengan sekelip mata dan sedikit usaha!
Mangkuk tingkat tersebut cukup besar sehingga cukup untuk meletakkan makanan untuk kami sekeluarga cukup makan selepas penat mandi laut di Pantai Teluk Batik. Tingkat bawah sekali yang berwarna merah jambu pastel merupakakan bahagian yang paling besar dan selalunya mak akan meletakkan bihun goreng kicap pedas ataupun nasi ayam special tersedap, tingkat kedua bawah yang berwarna biru pastel pula selalunya diisi sayuran seperti hirisan timun, tomato, salad dan bawang. Tingkat yang ketiga dan berwarna merah jambu pastel pula selalunya diisi dengan cucur bawang atau cucur udang dan tingkat yang paling atas yang berwarna biru pastel pula diisi dengan ayam goreng!
Selalunya Mak dan Abah tidak mandi laut. Jarang rasanya mak dan abah mandi laut. Saya pun tidak ingat bila kali terakhir mak dan abah mandi laut. Mak seperti biasa memilih untuk duduk bersila atau berlunjur kaki di atas tikar mengkuang sambil mengunyah kacang tanah atau kacang kuda rebus sambil menyediakan makanan untuk kami sekeluarga. Abah pula memilih untuk bersembang-sembang dengan orang-orang yang berkelah berdekatan dengan tikar mengkuang kami yang tiba-tiba jadi kawan sembangnya sambil memerhatikan kami adik beradik mandi di tepi pantai.
Abah selalu marah jika kami mandi jauh ke tengah atau mandi di tempat yang dalam. Mak selalu suruh kami mandi di kawasan betul-betul di hadapan tikar mengkuang yang mak duduk. Kami semua dikehendaki untuk mandi di gigi pantai sahaja, gusi pantai pun tidak boleh. Mak dan Abah tidak pernah benarkan untuk kami sewa pelampung. Merengek dan merayu macam mana pun mak dan abah tidak hiraukan
Saya terutamanya dan adik beradik selalu cemburu melihat orang yang mandi pantai dengan pelampung. Walaupun pelampung itu berwarna hitam dan legam, yang merupakan tiub tayar lori, yang berbau busuk getah, yang kadang-kadang diconteng dengan contengan tangan cat berwarna cerah dan berwarna warni berbentuk bulat, segi tiga, segi empat, garis mereng dan garis melintang, tetap berjaya menarik perhatian kanak-kanak seperti kami. Kami dambakan pelampung untuk mandi laut. Kami mahu baring di atas pelampung sambil terapung di permukaan laut dan melihat awan yang biru, kami mahu memahut beramai-ramai di pelampung sambil mengocakkan kaki di permukaan laut, kami mahu berlari bersama pelampung di pesisir pantai, kami mahu bagitahu semua orang bahawasanya kami pun ada pelampung.
Malangnya mak dan abah kami tidak seperti mak dan abah mereka yang lain. Mak dan abah tidak benarkan meyewa pelampung dengan alasan mandi di pantai dan di laut bersama pelampung amat berbahaya, walaupun kami faham dan mengerti mak dan abah tidak mahu bazirkan duit mereka untuk menyewa pelampung.
Bayangkan untuk menyewa sebiji pelampung yang besar abah perlu membayar RM8 dan untuk menyewa sebiji pelampung yang kecil mak pula perlu membayar RM5. Kalau untuk kami adik beradik yang seramai lima orang ketika itu, berapakah pula nilainya? Belum lagi denda kalau pelampung itu hanyut.
Ekoran dari itu, kami adik beradik pun mengerti dan memahami dengan hasrat mak dan abah. Kami setuju untuk tidak meminta, merengek dan merayu kepada mak dan abah untuk menyewa pelampung setiap kali kami berkunjung ke Pantai Telok Batik. Tetapi itu tidak bermakna impian kami untuk mandi bersama pelampung di Pantai Telok Batik akan malap dan padam.
Comments
Post a Comment