GODFATHER

Pada cuti hujung minggu yang lepas merupakan salah satu cuti hujung minggu yang ditunggu-tunggu, dinanti-nanti dan didamba-damba oleh semua rakyat Malaysia dan semestinya tidak terkecuali saya. Cuti hujung minggu tersebut disambung dengan cuti umum Hari Kemerdekaan Malaysia yang jatuh pada hari Isnin iaitu 31 Ogos 2020 menjadikan rakyat Malaysia dapat merancang, memenuhi dan mengisi cuti selama tiga hari berturut-turut tersebut dengan pelbagai aktiviti yang menarik, menyeronokkan, menceriakan dan membahagiakan bersama pasangan, keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan teman-teman. Malangnya, saya telah memilih untuk bercuti bersama diri saya.

Oleh itu, saya telah memilih untuk menggunakan dan menghabiskan masa cuti hujung minggu panjang saya dengan menonton bukannya sebuah tetapi tiga buah filem epik trilogi yang menjadi kebanggaan negara Uncle Sam iaitu filem Godfather (1972), Godfather Part II (1974) dan Godfather Part III (1990). Filem Godfather ini telah memenangi banyak dan pelbagai anugerah dan telah didaftarkan sebagai US National Film Registry of The Library of Congress pada 1990 dan mendapat rangking kedua di dalam Greatest Film in American Cinema. Hebat kan?

Sebenarnya sudah lama saya ingin menonton filem mafia dari Sicily, Italy ini, tetapi saya memilih untuk menangguh kemahuan saya untuk menontonnya kerana saya merupakan seorang yang lebih cenderung untuk menghabiskan masa berharga saya dengan menonton filem-filem yang bercorak autobiografi, filem  yang diadaptasi dari kisah sebenar, cerita yang boleh memberi loncatan motivasi kepada diri saya, filem yang boleh memberi nilai tambah kepada diri saya selepas menontonnya, filem yang diangkat dari novel-novel yang sudah saya khatam, semua filem animasi dari Studio Ghibli dan filem-filem yang memberi kesudahan cerita yang menggembirakan. 

Walaupun filem trilogi Godfather arahan Francis Ford Cappola ini bercorak keganasan, penjenayah, kepala mafia, bunuh membunuh, tembak menembak, tikam menikam dan dipenuhi percikan darah merah dimerata-rata, dan semestinya filem bercorak seperti ini bukanlah sejenis filem yang saya sukakan tetapi filem yang telah diadaptasi dari novel nukilan Mario Puzo ini berjaya mematikan pergerakkan saya, menarik perhatian saya dan membius kemahuan saya untuk membuat perkara lain selain daripada terpaku di hadapan skrin televisyen dirumah saya untuk menonton tiga buah filem epik ini berturut-turut selama 2 jam 55 minit (Godfather), 3 jam 22 minit (Godfather Part 2) dan 2 jam 42 minit (Godfather Part 3). Panjangnya durasi setiap filem ini mengalahkan panjangnya durasi filem hindustan ye.


Perkara yang paling menarik minat saya untuk terus dan terus menonton filem ini adalah kerana filem ini telah dihasilkan seperti sebuah dokumentari kehidupan sebuah keluarga mafia yang betul-betul wujud. Pembikinan dan jalan cerita filem ini sangat realistik dan hidup sehinggakan berjaya membuat saya berharap yang watak-watak utama di dalam filem ini betul-betul wujud dan ada di dunia ini. Ditambah pula dengan kehadiran pelakon-pelakon yang hebat yang telah berlakon dengan berkarisma, berwatak dan bersahaja. Selain itu, set pengambaran filem ini dibuat dengan sangat teliti dan betul-betul dijelmakan seperti di era atau ditahun tersebut dan musik latar belakang yang sangat klasik, sayu dan begitu menarik dan telah menjadi salah satu musik kesukaan saya membuatkan saya terus tergam-UHU diatas sofa di ruang tamu rumah saya.

Disebabkan filem ini juga, membuatkan saya untuk lebih menyukai orang Itali yang telah digambarkan di dalam filem-filem ini sebagai seorang yang berkarakter, pentingkan hubungan keluarga, sangat setia, utamakan ikatan persahabatan, sangat bersopan santun, lemah lembut, pandai masak, gentleman dan romantik. Ditambah pula dengan Bahasa Itali yang sangat pekat qalqalahnya dan gaya percakapan orang Itali yang sangat bersemangat dan macho sambil memutar-mutarkan tangan membuatkan saya turut terpengaruh untuk belajar Bahasa Itali satu hari nanti. Grazie! Prego! Per Favoure! Buona Sera! 

Comments

Popular Posts