POKOK DAN POKOKNYA



Sebagai seorang pegawai pemakanan ataupun nutritionist amat mudah untuk saya menyarankan, memberi rekomendasi, mengwar-warkan, menggalakkan dan menyuruh orang yang datang ke klinik pemakanan ataupun mendengar ceramah yang saya berikan untuk memilih menjadi seorang yang lebih sihat, menjalani kehidupan yang sihat, mengambil makanan yang sihat, memasak menu sihat, mempunyai berat badan yang sihat, memilih gaya hidup sihat dan menjadi individu sihat secara total.

Kalau boleh saya mahukan semua yang hadir untuk mengikut sepenuhnya saranan yang telah ditetapkan dan digariskan oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Panduan Pemakanan Malaysia, Pinggan Sihat Suku-suku Separuh, Piramid Makanan Malaysia, infografik kesihatan dan pemakanan dan macam-macam lagi yang telah ada di website http://nutrition.moh.gov.my. Bukannya susah pun pada perkiraan saya.

Sejak dari saya kecil saya tidak pernah ada masalah berat badan. Cuma ketika saya masih bayi saya mempunyai berat badan berlebihan sedikit dari bayi-bayi seusia saya sehinggakan saya menjadi bayi yang terlebih comel dan disukai, disayangi dan digerami ramai orang, tetapi dicemburui oleh kawan-kawan bayi saya yang lain. Besarlah kemungkinan hal ini terjadi kerana mak saya terlalu seronok dengan kehadiran saya sehinggakan membuatkan susu mak tidak putus-putus dan mak pula tidak putus-putus memberinya kepada saya sehinggakan membuat saya selalu kenyang. Kemungkinan juga kakak dan abang saya terlalu gembira dengan kehadiran adik baharu dalam kehidupan mereka iaitu saya, jadi mereka berebut-rebut sehingga bergaduh-gaduh untuk memberi susu kepada saya, jadi untuk memuaskan hati Along dan Abangnyah, saya minum semua susu pemberian mereka. Kemungkinan juga Abah saya sudah berpengetahuan luas menguruskan bayi hasil dari pengalamannya menjaga Along dan Abangnyah saya versi bayi dahulu, jadi Abah akan sentiasa bersedia dengan botol susu di sebelah Abah apabila tiba giliran Abah menjaga saya ketika mak pergi mandi ataupun bertungku ataupun mengurut. Walaupun saya merengek disebabkan di televisyen tidak memaparkan cerita Doremon tetapi Abah terus menyumbat botol susu ke dalam mulut saya. Itulah sebabnya saya mempunyai berat badan berlebihan sedikit ketika bayi. 

Ketika kecil, muda remaja dan belia trang tang tang saya merupakan seorang yang sangat aktif. Jadi, isu berat badan tidak pernah menjadi isu. Walaupun saya makan macam-macam dan makan setiap masa tetapi saya tetap kurus dan masih dalam berat badan yang ideal sehinggakan ramai yang mencemburui kelebihan ini. Ada yang kata saya membela saka. Ada yang cakap saya mempunyai metabolisma tinggi. Ada yang bagitahu saya tiada perut. Saya tidak pernah kisah dengan kata-kata orang, apa yang saya tahu saya suka makan dan makan adalah sangat menyeronokkan.

Tetapi tahun 2020 merubah segalanya.







Comments

Popular Posts