SELAMAT HARI BAPA, ABAH!
Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sudah lama rasanya saya tidak mencoretkan sesuatu di ruangan blog saya ini. Berhabuk dan berdebu sudah. Berdaki dan berlumut juga. Berkerak dan berkeruping mungkin. Tetapi hari ini saya terpanggil mengisi kekosongan di kanvas putih blog saya ini.
Alhamdulillah sehingga ke detik ini saya masih mempunyai seorang Abah. Masih sihat walafiat, masih berselera ketika makan, masih bekerja diwaktu pagi dan pulang diwaktu petang, masih suka membebel, masih misteri, masih suka kumpul barang, masih marah kalau barangnya diusik, masih sayang kereta Nissan merah yang tersadai berkarat di depan rumah, masih konsisten minum teh o panas tiada gula, masih bising satu rumah kalau kucing-kucing di rumah kami buat hal, masih suka sepahkan di dalam rumah dan di luar rumah dengan barang-barangnya yang banyak, masih membonceng motorsikal honda buruknya ke hulu dan ke hilir, masih rajin solat berjemaah magrib dan isya di masjid kampung, masih setia bersahabat baik dengan Cik Rosli jiran dihadapan rumah kami, masih berjambang putih lebat penuh tidak terurus dimukanya dan masih setia menjadi Abah buat kami adik beradik.
Saya boleh dikatakan merupakan salah seorang anak Abah yang kurang mengenali sosok diri Abah sepenuhnya. Saya banyak menghabiskan masa membesar saya di luar rumah dan jauh dari Abah dan keluarga. Ketika saya kecil dan masih di bangku sekolah rendah, Abah sibuk bekerja dan banyak menghabiskan masanya dengan pergi belayar. Saya pula banyak menghabiskan masa kecil saya dengan aktiviti harian yang sibuk dan penuh; pada waktu pagi saya pergi ke sekolah kebangsaan, di waktu tengahari saya pergi ke sekolah agama di blok A31, pada waktu petang pula saya pergi main bola, pergi tangkap ikan di longkang, pergi main mak-mak, pergi main guli, pergi main rounders dan pergi main zero point, di waktu malam pula saya pergi mengaji di rumah Cik Idah, selepas itu saya terus meniarap di bilik untuk siapkan kerja sekolah yang bertimbun banyaknya. Akhir sekali saya tidur selepas minum air milo o panas yang mak saya buatkan dan sejurus selepas saya siapkan dan kemaskan beg sekolah saya dan kemudian letakkannya elok-elok di atas kerusi kayu di ruang tamu rumah kami supaya tidak lupa untuk dibawa ke sekolah esok pagi.
Ketika saya di sekolah menengah, Abah saya telah menghantar saya masuk ke sekolah berasrama. Abah saya cakap duduk diasrama seronok kerana saya dapat jumpa ramai kawan, berpeluang belajar dengan guru-guru yang hebat, dapat belajar dengan lebih selesa, dapat belajar berdikari dan dapat menjadi seorang orang yang lebih pandai. Betul semua kata-kata Abah. Lima tahun saya hidup di asrama dan hanya sebulan sekali sahaja saya dapat pulang ke rumah untuk bercuti hujung minggu di rumah. Itupun kadang-kadang saya memilih untuk bercuti hujung minggu di rumah kawan rapat saya di Lenggong, Gerik, Taiping, Bota dan Ipoh. Belum lagi nak cerita cuti hujung minggu saya yang sepatutnya digunakan untuk pulang ke rumah yang terpaksa saya habiskan di asrama dan di sekolah kerana terlibat aktif dengan aktiviti kokurikulum dan kurikulum.
Ketika saya di zaman universiti saya sibuk dengan aktiviti, tugasan, kelas, assignment, aktiviti tambahan dan persatuan di universiti. Saya juga menyibukkan diri dengan bekerja part time di kedai roti di Giant Supermarket dan juga menjadi seorang call surveyor di syarikat IPSOS di MidValley selepas habis kelas dan juga di hujung minggu. Kadang-kadang saya sertai pelbagai program kesukarelaan yang memberi elaun harian demi menampung keperluan perbelanjaan harian ketika saya di zaman universiti. Ketika cuti panjang dan juga cuti semester saya memilih untuk mengembara seorang diri dinegara-negara atau desitnasi-destinasi yang saya idamkan dan impikan sejak saya kecil akibat terpengaruh dari bacaan novel atau majalah ataupun terpengaruh dari program-program dokumentasi di televisyen. Akibat kesibukan hakiki dan kesibukan tambahan ini sekaligus mengurangkan masa saya untuk pulang ke rumah dan mengenali Abah dengan lebih dekat dan rapat lagi.
Saya percaya setiap anak punyai definisi Abah yang tersendiri. Macam saya ada tujuh orang adik beradik iaitu Along, Abangnyah, Abangyang (saya), Abanguda, Kakteh, Kakcik dan Yani. Kami adik beradik membesar dengan Abah yang sama tetapi ketika fasa sosok diri Abah yang berbeza. Along yang paling sulung sudah membesar dan berpeluang untuk mengenai Abah selama 34 tahun manakala Yani si bongsu baru 17 tahun bersama Abah.
Ada dari kami yang membesar ketika Abah sedang sibuk membina kerjaya, ada dari kami yang membesar ketika Abah sudah pun pencen. Ada dari kami yang membesar ketika Abah masih muda belia, ada dari kami yang membesar ketika Abah sudah dipertengahan umur. Ada dari kami membesar ketika Abah bersemangat waja, ada dari kami yang membesar ketika Abah sudah cool. Ada dari kami yang membesar ketika Abah gembira dan bahagia, ada juga dari kami yang membesar ketika Abah sedih dan berduka. Ada dari kami yang membesar ketika abah at the peak of his life, ada dari kami yang membesar ketika Abah at the bottom of his life. Ada dari kami yang membesar ketika Abah diberi rezeki yang melimpah ruah, ada dari kami yang membesar dengan Abah yang diberi dugaan dan cabaran. Ada dari kami yang membesar ketika keluarga kami aman, tenteram dan damai, ada dari kami yang membesar ketika keluarga kami dirempuh badai mengganas.
Semua pengalaman dan kenangan tersendiri ini akan terkumpul, bersatu dan membentuk menjadi definisi seorang Abah kepada diri masing-masing dan tersendiri. Mungkin seorang Abah dimata Kakteh adalah berbeza dengan seorang Abah dimata Abanguda. Barangkali Abangnyah masih terkenang betapa tegasnya Abah ketika Abangnyah kecil dan barangkali Kakcik masih teringat betapa coolnya Abah ketika Kakcik kecil. Mungkin Along sebagai anak sulung akan nampak jerih payah serta pengorbanan Abah membina keluarga kami dahulu dan mungkin Yani si bongsu akan nampak Abah lebih bersenang-senang, beristirahat dan banyak menghabiskan masa di rumah sekarang.
Apa yang pasti semua pengalaman dan kenangan tersendiri dan masing-masing tentang Abah ini merupakan sesuatu yang sangat istimewa, berharga dan bernilai seperti istimewa, berharga dan bernilainya Abah kepada kami semua.
Selamat Hari Bapa, Abah!
Cuba teka saya yang mana? |
Comments
Post a Comment