MAK TAHU
Dahulu semasa saya masih kecil saya suka ikut Abah saya pulang ke kampung. Hampir setiap hujung minggu Abah akan pulang ke kampung untuk berkebun. Walaupun sebenarnya tujuan pulang ke kampung untuk berkebun merupakan tujuan yang telah jatuh di tempat ketiga selepas tujuan untuk berehat-rehat di kampung dan bersembang-sembang dengan rakan sebaya Abah di kampung.
Disebabkan adik beradik saya yang lain tidak berminat untuk ikut Abah pulang ke kampung ditambah pula Abah memilih untuk menaiki motorsikal buruknya untuk pulang ke kampung, jadi hanya seorang sahaja anak Abah yang boleh ikut dan teman Abah pulang ke kampung dalam satu-satu masa. Anak yang baik tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah saya!
Saya sentiasa teruja untuk ikut Abah pulang ke kampung. Saya sentiasa tak sabar menunggu perkhabaran gembira tersebut. Saya sentiasa menunggu Abah bertanya siapa yang mahu mengikutnya pulang ke kampung pada minggu ini. Saya sentiasa bersedia untuk ikut Abah balik kampung. Saya sentiasa mahu membonceng motorosikal bersama Abah untuk pulang ke kampung. Saya sentiasa seronok disapa angin kencang di muka saya.
“Mak..Abah balik kampung tak minggu ni?”
“Kerja sekolah dah siap? Pergi siapkan kerja sekolah dulu.”
“Mak ni…orang tanya mak tanye orang pulak.”
Saya tahu walaupun Abah suka saya ikut abah pulang ke kampung, tapi tidak bagi Mak. Sebab mak tahu saya nakal dan buas budaknya ketika itu.
Sebab mak tahu saya seronok di kampung tanpa pengawasan mak. Sebab mak tahu saya akan bebas tanpa kawalan. Sebab mak tahu saya akan main di kampung sampai lewat magrib. Sebab mak tahu saya akan panjat pokok sehingga ke puncak, sebab mak tahu saya akan kejar ayam sampai ayam boleh terbang jauh, sebab mak tahu saya akan hambat itik sampai itik tak boleh jalan dah, sebab mak tahu saya suka main api sampai anak ayam pun dibakarnya, sebab mak tahu saya akan main tanah sampai kuku saya hitam, sebab mak tahu saya suka kencing malam. Sebab mak tahu saya akan merayau di ladang getah sehingga bertungau.
Sebab mak tahu.
Comments
Post a Comment