MANN
Seperti biasa, sedang saya membelek-belek dan membolak-balik laman sesawang Netflix, tiba-tiba mata saya tertancap dan terpegun pada salah satu pilihan filem baharu yang dipaparkan dilayar skrin Macbook saya. Filem dari negara yang punyai jutaan cerita cinta. Filem yang dipenuhi dengan lagu-lagu halwa telinga dan malar segar sehinggakan anak Melayu yang tidak fasih berbahasa inggeris lancar melontarkan bait-bait lirik lagu Khushiyan Aur Ghum. Filem yang menjadi kesukaan Mak, Abah dan kami sekeluarga. Filem yang membuatkan kami adik-beradik melekat dirumah semata-mata untuk menonton bersama-sama Panggung Sabtu di TV3. Filem yang boleh membuatkan si penonton tanpa sedar mengalirkan air mata kegembiraan dan juga air mata kesyahduan. Filem yang membuatkan semua gadis Malaya ingin memiliki kekasih seperti sosok Aamir Khan. Filem yang membuatkan semua jejaka Malaya mengimpikan mempunyai buah hati setabah dan tak gedik seperti Manisha Koirala. Filem epik tersebut tak lain dan tak bukan adalah Filem Mann.
Sepanjang saya hidup di dunia yang fana dan penuh kelekaan ini, saya sudah menonton filem Mann sudah lima atau enam kali barangkali. Cuma pada kali ini saya lebih menghayati, memahami dan mengikuti sepenuhnya cerita ini dari awal hinggalah ke akhir. Ditambah pula filem Mann yang ditayangkan di Netflix ini mempunyai kualiti video yang terbaik, kualiti gambar yang jelas. Lebih-lebih lagi saya menontonnya di dalam bilik saya yang aman, nyaman dan sejuk berhawa dingin, dengan tv 55 inci super HD 4K yang membuatkan liang roma Rani Mukherjee pun boleh nampak dan yang lagi best lagi saya menontonnya dengan kawan saya yang memang peminat fanatik filem Mann ini sehinggakan rahang saya jatuh ke lantai ketakjuban apabila mendengar beliau dengan girangnya ikut menyanyi dengan lancar seperti bertih jagung yang kepanasan, mendendangkan setiap bait patah lirik lagu di dalam filem ini bersama-sama dengan Karan Dev Singh dan Priya Verma. Bukannya sebuah lagu tetapi setiap buah lagu di dalam filem tersebut!
"Mana ko belajar tamil ni?"
"Bahasa Hindi lah."
"Mujhse Dosti Karoge?"
"NAHIN!"
Dalam filem ini Aamir Khan membawa membawa watak sebagai Karan Dev Singh, seorang mamat playboy dan cassanova yang menjadi pujaan hati ramai wanita. Walaupun wanita tersebut tahu hati mereka akan dimainkan oleh Aamir Khan yang suka main, main-main dan bermain-main tetapi wanita-wanita tersebut rela dipermainkan dari tidak main langsung. Sehinggalah pada satu hari Karan Dev Singh terjumpa dengan Priya Verma di atas kapal persiaran mewah yang membawa penumpangnya belayar dari Singapore ke Mumbai. Kebanyakan penumpang di dalam kapal mewah ini adalah rakyat India. Priya Verma pula merupakan seorang yatim piatu yang mengabdikan diri sebagai seorang cikgu di rumah anak-anak yatim dan telah memenangi satu pertandingan tarian tradisional yang membolehkan Priya berpeluang untuk turut serta belayar di atas kapal persiaran mewah tersebut. Sejak pertemuan itu Dev tidak main, bermain-main dan bermain-main lagi.
Cuma semasa saya kecil saya hanya menonton filem ini sebagai sebuah hiburan ataupun untuk mengisi masa yang terluang ataupun disebabkan saya tidak boleh menukar ke siaran yang lain kerana ahli keluarga saya sebulat suara bersetuju dalam diam untuk menontonnya bersama-sama. Saya hanya melihat filem ini dari sisi seorang kanak-kanak yang naif, yang tertarik kepada lagu-lagu yang merdu yang didendangkan di dalam filem ini, tarian yang lincah dan beritma oleh pelakon yang cantik dan tampan, keindahan sinematografi dari pelbagai negara yang ditunjukkan di dalam filem ini, kepelbagaian makanan yang unik dan lain dari hidangan di rumah kami.
Cuma semasa saya meningkat dewasa dan tidak naif lagi. Saya terkesima dan malu sendiri-sendiri apabila melihat babak-babak di dalam filem Mann ini. Melihat betapa tangkas dan rakusnya Karan Dev Singh dan melihat betapa terbuka dan terdedahnya Priya Verma di dalam filem ini. Apa yang lebih kelakarnya, saya menonton babak-babak seksi dan tidak bernuansa timur ini bersama keluarga saya beramai-ramai di ruang tamu rumah kami!
Astaga.
Comments
Post a Comment