BUAH CIKU



Dahulu semasa saya kecil saya suka pulang ke kampung. Perkara yang paling dan amat menggembirakan saya ketika waktu itu adalah dapat pulang ke kampung di Manong, Perak selain dapat surat dari rakan pena saya, dapat duit upah dari mak sebab tolong parut kelapa di kedai bawah blok, dapat main basikal dengan kawan-kawan rapat saya, dapat ikut program pengakap dihujung minggu, dapat beli benjo seringgit di PERNAMA menggunakan duit belanja sekolah yang mak saya kasi 50sen sehari walaupun ada hari yang mak terlupa kasi yang saya kumpul.

Dikampung, dibaruh, di rumah Opah sebelah Abah saya, ada sepohon pokok buah ciku yang sangat besar. Pokok buah ciku ini besarnya sehingga seperti besarnya Rumah Kutai arwah Opah saya. Disebabkan pokok ciku ini terlalu besar, pokok ini menjadi tempat tinggal dan tempat berteduh bukan hanya ayam dan itik opah tetapi pelbagai binatang yang lain juga. Ekoran dari itu pokok ini mendapat keperluan nutrient yang melimpah ruah dari najis-najis binatang tersebut dan seterusnya membesar dengan sihat menghijaunya dan mengeluarkan buah-buah ciku yang manis dan juga lazat. 

Dahulu jika mak saya ikut pulang ke kampung, mak saya suka mengutip buah-buah ciku yang sudah besar, matang dan lembut jika dipicit yang banyak jatuh bertaburan di bawah pokok ciku untuk dimakan beramai-ramai sambil duduk-duduk kaki terlunjur di pankin di tepi pokok buah ciku yang besar tersebut dipetang hari ataupun mak saya akan mengutip buah-buah ciku yang besar, matang dan keras sedikit jika dipicit yang masih bergayutan dihujung dahan pokok ciku tersebut sehingga penuh satu besen besar untuk dibawa pulang ke rumah kami untuk diperam sebelum dimakan beramai-ramai dirumah.

Saya tidak pernah suka makan buah ciku. Sehingga sekarang pun saya masih tidak meminati buah ciku. Saya tidak tahu kenapa apabila saya makan buah ciku, lidah saya akan jadi gatal-gatal dan lelangit saya minta digaru. 


Comments

Popular Posts