PAKCIK LEGEN 2



Sebelum ini saya selalu percaya bahawa semua manusia adalah sama, kita semua adalah sama, setiap insan punyai taraf yang sama, semuanya adalah sama. Kepercayaan ini membuatkan saya percaya pada diri sendiri, saya yakin untuk bersembang dengan sesiapa pun, saya tidak malu untuk berjumpa dengan sesiapa pun, saya tidak kekok untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan siapa-siapa pun. Tetapi kepercayaan dan keperibadiaan ini terhakis sedikit selepas saya berjumpa dengan pakcik legen.

Selepas mendengar pekikan dari waiter yang kali ke berapa entah, saya pun terus bergerak ke ruang hadapan cafe. Dari jauh mata saya tertancap pada kelibat sosok lelaki caucasian dalam lingkungan umur abah saya. Orang Jerman barangkali ataupun orang Belanda. Berdiri, mundar-mandir dan menanti sambil memegang gugusan kunci ditangan kanan dan botol air ditangan kiri. Badannya tinggi, rambut berwarna perang elok tersisir belah tepi, ada kumis nipis di atas bibir yang juga berwarna perang, berbaju t-shirt hijau muda, berseluar pendek hijau askar dan berkasut sukan Nike serba putih. Kemas, tegap, perut flat, berotot kekar dan atletik. Jauh berbeza dari abah saya. Seperti langit dan bumi. Seperti tanah dan batu. Seperti begonia dan cactus. Mungkin orang ini yang suruh saya ubah kereta saya.

"Kau takde tempat lain nak letak kereta ke?"

"Huh..?!"

Kepala dan mata saya yang sudah saya kunci ke arah lelaki caucasian yang betul-betul berdiri dihadapan saya, sepantas kilat saya pusing ke arah suara yang bernada sinis separa berbisik tersebut.

Berbaju putih lusuh dan gedabak besar, berseluar pendek petak-petak bawah lutut yang usang, berkasut besar yang membuat tumit terjuih keluar apabila kaki menapak, rambut putih panjang yang tidak terurus. Kurus, keding, kerepot, kedut-kedut, tua dan melayu. 

Betul. Pakcik inilah yang menunggu saya. Pakcik inilah yang minta saya ubah kereta saya. Pakcik inilah yang sarkastik itu. Pakcik inilah pakcik legen.

"Oh pakcik." Sapa aku tergesa-gesa dalam ketidak-percayaan.

"Apa pakcik-pakcik. Aku bukan pakcik kau." Balas pakcik ini dengan keyakinan tahap atasan.

Saya terus melangkah keluar dari cafe sambil buat-buat tidak dengar dan menuju ke arah kereta. Dalam hati saya berharap masih ada ruang parking untuk saya letak kereta saya nanti. Dalam hati juga berharap pakcik ini tidak berbicara lagi.

"Kau tak tahu ke itu rumah aku? Kau tak nampak ada pagar untuk kereta aku masuk? kau tak tahu situ tak boleh letak kereta? Kau tak nampak ada banner rumah untuk dijual kat pagar rumah aku tu?" Pakcik terus menembak soalan yang membuat cuping telinga saya panas.

"Oh saya ingat itu rumah tinggal." balas saya senafas.

"Apa?!" Separa jerit pakcik bertanya semula sambil melangkah laju mendekati saya.


"Saya suka pakcik ni." Bisik saya dalam hati.

















Comments

Popular Posts