FILEM REVIEW: 12 YEARS A SLAVE
Assalamulaikum dan selamat pagi semua. Apa khabar? Sudah lama juga saya tidak mengemaskini dan mencoretkan sesuatu di blog saya ini. Saya sibuk dengan diri sendiri dan ada beberapa hal yang perlu diselesaikan dalam masa yang terdekat. Ditambah pula dengan kekangan waktu yang membuatkan blog saya sempat bersawang sedikit.
Pada malam semalam saya sempat menonton filem yang sangat hebat dari segi jalan cerita dan juga pelakonnya. Filem ini merupakan kisah benar yang telah dibukukan dan seterusnya difilemkan. Filem 12 Years A Slave mengisahkan tentang perjuangan selama 12 tahun untuk memerdekakan diri oleh seorang lelaki berkulit hitam yang bebas yang telah diculik dan dijual untuk dijadikan hamba abdi.
Filem ini telah diterajui oleh pelakon utama yang hebat iaitu Chiwetel Ejiofor yang melakonkan watak sebagai Sir Solomon Northup iaitu seorang lelaki berkulit hitam yang bebas, berjaya dan disegani di New York sebagai seorang pemain biola. Sir Solomon sudah berkahwin dan mempunyai sepasang anak dan menetap di kejiranan bangsawan di New York. Pada suatu hari Sir Solomon telah didatangi oleh dua orang lelaki english dan menawarkan kerja sebagai pemain biola di pertunjukan sirkus dan akan mengembara dari bandar ke bandar untuk membuat pertunjukan. Sir Solomon telah bersetuju kerana ditawarkan pendapatan yang lumayan.
Di sinilah kehidupan Sir Solomon telah berubah 360 darjah. Dari seorang lelaki yang bebas kepada seorang hamba abdi. Sir Solomon telah diperangkap oleh dua orang lelaki English dan telah dijual untuk dijadikan hamba abdi kulit hitam. Di sinilah kita dapat melihat pelbagai adegan, babak dan kejadian yang dipaparkan di dalam filem ini yang terpaksa dilalui, dihadapi dan ditempuhi oleh seorang hamba kuit hitam di zaman dahulu.
Hasil dari lakonan yang hebat dan berkesan dari pelokon-pelakon hebat seperti Chiwetel Ejiofor, Lupita Nyong'o dan Adepero Oduye sebagai seorang hamba kulit hitam yang ditindas, teraniaya, dizalimi, diseksa dan dihambakan membuatkan diri saya sangat terkesan dengan filem ini. Hati saya tersentuh dan terdetik untuk lebih menghargai dan mensyukuri nikmat masa, kebebasan dan kemerdekaan yang saya ada sekarang. Malangnya saya selalu lupa, lalai dan alpa tentang nikmat ini dan sering kali dan acap kali membazir nikmat-nikmat yang saya perolihi ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, merugikan diri sendiri dan merosakkan diri sendiri yang sudah pasti tidak akan dilakukan oleh hamba-hamba kulit hitam ini.
Bayangkan kehidupan kita dikawal 100% oleh orang lain. Bayangkan masa kita ditentukan oleh orang lain. Bayangkan kita hanya dianggap sebagai objek bukannnya seorang manusia yang punyai perasaan. Bayangkan kita tidak punya hak untuk bersuara dan berkata-kata. Bayangkan semua pergerakan kita dikawal dan dipantau. Bayangkan hidup kita dan kehidupan kita hanya untuk di abdikan untuk orang lain!
Comments
Post a Comment