NEW YEAR!
Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Selamat tahun baru 2019, selamat tinggal 2018, selamat menjadi insan yang baharu dan selamat beriltizam dengan azam baharu. Hari ini sudah masuk hari kedua untuk tahun 2019. Sekejap sahaja 24 jam yang pertama tahun baru telah berlalu. Tanpa kita sedari kita tertinggal dan kita ditinggalkan. Begitu pantas masa meninggalkan kita. Semestinya masa tidak pernah menunggu kita. Kitalah yang perlu mengejar masa. Tetapi malangnya kita selalu alpa, lalai, lupa dan leka dengan masa. Persoalannya, adakah kita sememangnya seorang individu yang tiada sebab untuk memanfaatkan masa? Adakah hidup kita terlalu senang sehingga kita tidak perlu untuk mengejar masa? dan adakah diri kita sudah cukup sehingga kita tidak perlu untuk memaksimumkan penggunaan masa kita?
Saya faham. Saya mengerti. Saya tahu dan saya mengaku saya pun sama seperti orang lain. Ada pasang dan surut dalam kehidupan. Ada masa rajin dan ada masa malas. Ada masa menyayangi diri sendiri dan ada masa merosakkan diri sendiri. Ada masa gembira dan ada masa sedih. Ada banyak dan pelbagai mimpi dan impian untuk tahun baru 2019. Ditambah lagi dengan hutang-hutang mimpi dan impian ditahun-tahun yang lepas yang masih belum terlaksana. Tetapi jika diri kita masih tiada kesedaran, ditakuk lama dan tidak ingin berubah dan mengubah, semua mimpi dan impian ini hanya sekadar lalu di angin lalu. Seperti tidur lena sepanjang jalan di dalam keretapi Trans-Siberia. Seperti ada blog tetapi tidak menulis. Seperti ada novel tetapi menjadi perhiasan. Seperti ada kekasih tetapi tidak dihargai.
JOM BERUBAH!
Comments
Post a Comment