Saya mula aktif ber-instagram pada awal tahun 2013. Ketika itu Instagram app baru sahaja wujud dan mula dikenali di Malaysia. Memiliki akaun Instagram bukanlah suatu perkara yang wajib seperti wajibnya memiliki akaun Facebook ketika itu. Tetapi di tahun 2019 ini, memiliki akaun Instagram lebih wajib dari memiliki akaun Facebook. Ramai yang memilih untuk berkongsi aktiviti kehidupan seharian mereka di Instagram. Masa berubah. Pilihan berubah. Manusia berubah.
Sebenarnya, saya telah mula ber-Instagram sejak dari saya mula aktif ber-Facebook lagi. Maksudnya saya ber-Instagram di dalam Facebook saya! Dulu saya rapat dengan Cikgu Sirajuddin iaitu cikgu Bahasa Melayu di sekolah menengah saya. Cikgu Sirajuddin sangat terkenal dengan seorang yang sangat kemas, teratur, teliti dan pandai dalam hiasan dalaman. Cikgu Sirajuddin juga merupakan cikgu Ekonomi Rumah Tangga (EMT) dan penyelia pusat sumber sekolah. Cikgu Sirajuddin berjaya mengubah sepenuhnya pusat sumber sekolah dan bilik ekonomi rumah tangga menjadi hebat, hidup, teratur, bersistem, menarik, bergaya dan berwarna selepas Cikgu Sirajudin mengambil alih dengan sentuhan keramatnya.
Saya masih ingat lagi, sambil berdiri di sebelah Cikgu Sirajudin saya melihat dan merenung gambar-gambar yang digantung di dinding utama pusat sumber sekolah ketika waktu prep malam, saya bertanya pada Cikgu Sirajuddin;
"Cikgu, kenapa cikgu tampal gambar-gambar ini cikgu?
Cikgu Sirajuddin menjawab sambil berdehem-dehem halus;
"Sharizan, dari sekeping gambar kita boleh ceritakan pelbagai cerita."
Sejak dari itu situ, telah menjadi rutin atau tabiat untuk saya berkongsi satu gambar dan satu perkataan di media sosial saya sejak dari zaman Facebook sehinggalah kewujudan Instagram.
Pada tahun 2013 juga, saya terpilih untuk menyertai Program Pertukaran Belia Antarabangsa ke Korea di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Pada waktu itu, ketika zaman saya muda remaja dan berkongsi gambar di Instagram merupakan suatu aliran terkini bagi setiap muda belia di Malaysia. Saya dengan bersemangat waja mengambil ratusan gambar di setiap celah, sudut dan penjuru kota Seoul dan memasukkannya di dalam Instagram saya dengan niat yang tulus untuk berkongsi keseronokan, kegembiraan dan keriangan saya di sana.
Untuk dijadikan cerita, apabila saya sampai di Malaysia selepas dua minggu di Seoul, Korea, saya merancang untuk menyimpan semua gambar-gambar saya. Saya berniat untuk memindahkan gambar kenangan terhebat saya di Korea dari iPhone 5 ke dalam komputer peribadi saya. Malangnya, hidup tidak selalunya indah. Saya telah tersalah tekan dan semua gambar-gambar di dalam iPhone saya padam, hilang dan lesap seperti wap udara panas. Bayangkan ratusan gambar kenangan pertama kali saya ke Seoul, Korea hilang begitu sahaja.
Tetapi Instagram berjaya menyelamatkan saya.
Semenjak dari itu saya lebih dekat dengan Instagram. Instagram menjadi album gambar saya. Instagram menjadi diari saya, Instagram menjadi kotak simpanan kenangan kehidupan saya kerana saya percaya;
"I may not have a photographic memory
but from my photos I can recall all my memories created."
@rizryder
Setuju. Memories stay forever :)
ReplyDelete