KAMU DAN SEGALA KENANGAN
Masih segar dalam ingatan saya lagi. Detik ketika saya berdiri dikoridor dihadapan kelas 4 Ibn Khaldun mengiakan kata-kata jujur lagi ikhlas dari Ustaz Siddiq Aliman salah seorang ustaz Bahasa Arab yang disegani disekolah menengah saya. Ustaz Siddiq cakap;
"Setiap orang punya masalah. Kita tidak boleh lari dari masalah, kita kena hadapi masalah tersebut kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya."
Sampai sekarang saya terkesan dan pegang kata-kata itu. Ternyata madah pujangga dari seorang insan sederhana dan riang berkupiah putih setiap hari ke sekolah berjaya membuat saya menjadi seorang yang kuat, kebal dan ampuh untuk hadapi, tangani, depani, dan selesaikan semua masalah saya. Sampai detik ini.
Ada orang cakap ujian, cabaran, dugaan dan masalah saya tidak hebat, kurang mencabar dan tidak cukup meluluhkan.
Tapi bagi sesetengah orang kehilangan sebatang pen merupakan suatu perkara yang normal baginya tapi bagi sesetengah orang, satu pen yang hilang tersebut boleh membuat dia tidak bersemangat untuk bekerja, tertekan, fikiran kusut, buntu dan menjadi dungu.
Walau masih bisa senyum, namun tak selepas dulu.
Dulu saya tidak mengerti bagaimana orang yang sudah berkahwin bertahun-tahun, punya anak, punya harta bersama dan punya jutaan kenangan boleh bercerai? Bukankah semua masalah ada jalan penyelesaiannya?
Dulu saya tidak mengerti mengapa sudah lama berkasih, berjanji untuk sehidup semati, memasang angan-angan untuk bersama abadi, setiap tempat punya memori tersendiri, punya ribuan kenangan bersama boleh berpisah? Bukankah semua masalah ada jalan penyelesiannya?
Dulu saya tidak mengerti mengapa sudah berkawan lama, melakukan banyak aktiviti bersama, punyai ratusan kenangan boleh bermasam muka? Bukankah semua masalah ada jalan penyelesaiannya?
Sampai sekarang saya masih dan selalu percaya bahawa setiap masalah pasti ada titik penyelesaian. Tetapi saya sama sekali tidak percaya untuk masalah ini, inilah jalan penyelesaiannya.
Kamu dan segala kenangan.
Comments
Post a Comment