MOTORSIKAL

Assalamualaikum semua. Apa khabar? Semoga semua dalam kesihatan yang maksimum dari segi mental, fizikal, jiwa, rohani, batin dan juga lahir. Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Kesibukan kerja, tugasan luar, kerja tambahan, tugasan luar waktu kerja, nutrition conferences, breastfeeding seminar, kemalasan, sikap suka bertangguh, terlebih tidur, emosi tidak stabil dan tidak istiqomah merupakan antara punca-punca blog saya sepi begini. 

Jom jadi macam Dr M!

Macam biasa, setiap pagi saya akan membonceng motorsikal kuning saya untuk ke tempat kerja saya. Tempat kerja saya ni unik sedikit, berbeza dari tempat kerja rakan-rakan askar saya yang lain. Luar dari kawasan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak. Pejabat saya berdekatan dengan KLCC, Avenue K, Menara AmBank dan Kedutaan Australia. Memang di pusat kepada pusat bandar. Pejabat kami berada di Menara PTPTN di Jalan Yap Kwan Seng. Jadi, setiap hari saya akan ulang alik dari tempat tinggal saya di Wisma Perwira ATM ke Menara PTPTN, Megan Avenue II iaitu tempat kerja saya dengan mengambil masa lebih kurang sepuluh minit walaupun jalanraya SESAK TERUK, sesak ataupun tidak sesak langsung. Sebab itu saya suka membonceng motosikal kuning kesayangan saya ke tempat kerja saya.

Pagi tadi, tengah saya membelok-belok, memutar-mutar throttle motorsikal saya dan menyelit-nyelit diantara deretan kereta, saya telah memilih untuk memotong barisan kereta tersebut dari sebelah kiri jalan dan kebanyakan pembonceng motorsikal yang lain memilih untuk memotong dari sebelah kanan jalan. Pada perkiraan saya, jalan yang saya pilih itu kurang sibuk, lebih kosong dan lebih luas untuk meloloskan motorsikal saya dan berfikiran saya akan sampai lebih cepat ke jalan utama dari pembonceng-pembonceng motorsikal yang lain. Rupa-rupanya sangkaan membuta-tuli saya itu meleset sama-sekali. Saya terkandas dan perlu memberhentikan motorsikal saya untuk membenarkan dan memberi laluan kepada kereta dihadapan saya untuk lalu dahulu. Pembonceng motorsikal yang memilih untuk memotong barisan kereta yang panjang dari sebelah kanan hanya mampu untuk mengerling pada saya dan meneruskan perjalanan tanpa rasa apa-apa.

Selepas dari kejadian itu, hati saya terdetik dan membuat minda saya berfikir dan terfikir di atas motorsikal sambil meneruskan perjalanan. Situasi dan kejadian yang baharu sahaja terjadi boleh menjadi refleksi kepada kehidupan seharian saya ataupun kita. Kita mungkin fikir sesuatu keputusan yang kita buat, jalan dan laluan yang kita pilih itu adalah benar, tepat, terbaik dan terkita. Tetapi sebenarnya tidak ataupun ada yang lebih baik dari itu. Sebagai seorang manusia yang normal, matang, terbuka, minda yang berkelas dan berpelajaran kita sepatutnya tidak melatah bila keputusan yang kita buat tidak memihak kepada kita. Ataupun jalan dan laluan yang kita pilih mempunyai halangan dan rintangan. Seperti keputusan saya untuk memotong deretan kereta di sebelah kiri jalan. 

Setiap dari kita mahukan yang terbaik dalam hidup kita dengan membuat keputusan yang terbaik dalam perhitungan kita. Jika ada rintangan, halangan, ujian, dugaan, sekatan dan cabaran, kita harus berhadapan dengannya dengan hati yang terbuka dan melantun semula dengan cepat pada kedudukan asal dan meneruskan kehidupan seperti biasa ataupun dengan dengan lebih bersemangat, bermotivasi dan bermisi. Life must go on!




Comments

Popular Posts