FILEM REVIEW: DEAR EX
Assalamualaikum semua. Pada hari Jumaat yang lepas ketika cuti Hari Wilayah Kuala Lumpur saya telah berjaya mengisi masa senggang saya dengan melakukan perkara yang berfaedah iaitu menonton sebuah filem yang bercorak drama dari Taiwan. Sudah lama rasanya saya tidak menonton filem-filem dari tanah besar China ini dan filem Dear Ex ini berjaya menarik minat saya untuk menontonnya dan mungkin anda juga!
Filem ini menceritakan kejadian yang berlaku pada sebuah keluarga yang melibatkan seorang suami, isteri, anak lelaki dan kekasih hati ataupun kekasih gelap si suami. Apa yang menariknya kekasih hati ataupun kekasih gelap si suami merupakan seorang lelaki. Menarik bukan? Si suami mempunyai insuran hidup dan pada mulanya meletakkan nama anak lelakinya sebagai waris tetapi rupa-rupanya si suami telah menukar nama waris insurannya kepada Jay iaitu kekasih hati si suami sebelum si suami meninggal dunia akibat barah. Isteri kepada si suami sangat marah dan berang atas kejadian itu dan bertindak menyerang kekasih hati ataupun kekasih gelap si suami untuk menuntut hak insuran milik anaknya.
Disebabkan tertekan dengan sikap dan perangai maknya yang kuat berleter, membebel, meninggikan suara, memberi arahan, membuang semua hadiah pemberian ayahnya dan mengongkong kehidupannya. Si anak membuat keputusan untuk tinggal bersama kekasih hati ataupun kekasih gelap ayahnya yang merupakan penggiat teater.
Selain untuk tinggal jauh dari emaknya, si anak membuat keputusan untuk tinggal bersama Jay kerana berhasrat untuk menyiasat dan menyelidik mengapa bapanya telah membuat keputusan untuk meletakkan Jay sebagai waris insuran miliknyanya. Dia juga ingin mengetahui adakah Jay betul-betul mencintai bapanya ataupun dia hanya mempergunakan bapanya untuk mendapatkan insurannya.
Selain mempunyai jalan cerita yang menarik, filem ini juga dibarisi pelakon yang hebat yang berjaya menjiwai, membawa dan melakonan watak dengan sangat baik. Saya sangat terkesan dengan lakonan si isteri yang kecewa dengan suaminya yang berlaku curang, mencintai dan menduaknnya dengan seorang lelaki. Dia juga menyalahkan diri dan mempersoalkan diri sendiri mengapa suaminya tidak lagi mencintainya dan ditambah lagi dengan kesusahan membesarkan anak yang kuat memberontak dan tidak mendengar katanya.
Di akhir cerita ini, si anak dan si isteri barulah menyedari bahawa si suami betul-betul mencintai Jay dengan setulus hati dan Jay juga mencintai si suami dengan seikhlas hati. Si suami pernah berterus terang dengan si isteri tentang perhubungan mereka dan berniat untuk bercerai dengan cara baik tetapi tidak diendahkan oleh si isteri. Ketika si suami sakit teruk akibat barah Jay yang banyak menghabiskan masa menjaganya, sehinggakan Jay sanggup menjual barang-barang berharga miliknya dan sanggup meminjam wang daripada Ah Long untuk menampung perbelanjaan perubatan si suami. Ada beberapa babak yang bole membuatkan penonton sayu dan sedih sehingga boleh menitiskan air mata.
Akhirnya, si isteri dengan rela hati menyerahkan dan merelakan insuran hidup milik suaminya diberi kepada Jay. Si anak dan Jay menjadi kawan rapat.
Comments
Post a Comment