FILEM REVIEW: HUSH
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Sudah sarapan? Sudah senyum? Alhamdulillah semoga apa yang kita semua rancangkan pada hari ini berjalan dengan lancar hendaknya. Jangan hidup tiada perancangan sudahlah.
Ada orang suka merancang dan ada orang yang suka ikut perancangan orang. Hanya kita yang mengetahui tentang diri kita dan kita selesa di dalam kategori yang mana? Bayangkan bagaimana keadaan hidup dan diri kita jikalau kita tidak merancang, tiada perancangan dan tiada yang merancang. Mesti hambar, lesu, bosan, tidak bermakna, tidak bererti dan stagnan. Bagi saya, saya di dalam kategori yang suka merancang aktiviti kehidupan saya mengikut kehendak dan kemahuan saya sendiri. Kadang-kadang saya merancang untuk menggunakan masa saya bersama keluarga saya, sahabat akrab saya dan rakan-rakan saya dan kadang-kadang saya memilih dan merancang untuk bersama diri saya sendiri di dalam bilik, di atas katil, di depan laptop bersama Netflix.
Sama juga seperti watak utama di dalam filem Hush ini yang dilakonkan oleh Kate Siegel sebagai Maddie Young, seorang penulis novel yang bisu dan pekak yang telah merancang dan memilih untuk menggunakan masanya di villa yang sangat besar di tengah-tengah hutan, sunyi, sepi dan jauh dari orang ramai semata-mata untuk bersendirian mencari mood dan idea untuk menulis novelnya.
Malangnya, bukan semua apa yang kita rancangkan akan berjalan seperti apa yang kita mahukan. Itulah fakta yang perlu dihadam oleh watak utama di dalam filem ini dan juga kita semua. Ketika bersendirian menyiapkan novelnya, Maddie Young didatangi oleh seorang lelaki bertopeng yang tidak dikenali dan ingin membunuhnya.
Bayangkan apakah dan bagaimanakah perasaan yang di rasai oleh Meddie Young ketika itu? Keseorangan, dimalam hari, tiada bekalan elektrik, tiada sambungan internet, tiada telefon kerana telah diambil oleh penjahat, tiada orang sekeliling dan tiada senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Hanya system penggera keselamatan rumah yang mampu menyelamatkan dan menghalang penjahat daripada masuk ke dalam rumah dan membunuh Maddie Young.
Pelbagai adegan dan babak cemas, meyeramkan malah menakutkan yang di sajikan di dalam filem ini. Pelbagai cara yang telah dilakukan oleh penjahat untuk mencederakan dan membunuh Meddie Young dan pelbagai usaha yang telah di lakukan oleh Meddie Young untuk kekal hidup.
Comments
Post a Comment