BAHAGIA 2

Cerita Bahagia Saya yang Kedua

Dahulu semasa saya di sekolah rendah saya merupakan seorang ahli pengakap sekolah. Saya ingat lagi ketika saya di darjah 4 saya dikehendaki untuk memilih menyertai unit badan beruniform. Saya dengan suka hati dan tanpa ragu-ragu memilih untuk menyertai pengakap! Sebab yang pertama adalah kerana abang saya pun seorang pengakap. Sebab yang kedua adalah kerana saya tidak sabar untuk pakai kasut hitam setiap hari Rabu ke sekolah. Sebab yang ketiga adalah kerana semua keperluan unifom pengakap sudah ada di rumah. Semua milik abang saya akan diturunkan kepada saya dan menjadi milik saya!

Persatuan Pengakap sekolah saya agak terkebelakang sedikit dan tidak aktif berbanding sekolah-sekolah rendah yang lain. Bayangkan semenjak sekolah saya itu beroperasi dan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia tiada seorang pun murid yang berjaya mendapat Rambu Pengakap Kanak-kanak. Belum lagi nak cerita Lencana Berbasikal, Lencana Memasak, Lencana Kraftangan. Tetapi semenjak Cikgu Kamarulnizam iaitu cikgu baharu di sekolah kami mengambil alih Persatuan Pengakap sekolah, semuanya berubah.

Cikgu Kamarulnizam seorang yang ceria, aktif dan bersemangat. Cikgu Kamarulnizam banyak merancang dan membuat aktiviti untuk menghidupkan Persatuan Pengakap sekolah. Disebabkan Cikgu Kamarulnizam bersikap mesra, bersahaja dan terbuka membuatkan saya ingin mengikuti setiap aktiviti persatuan pengakap sekolah saya. Saya akan rasa ketinggalan jika saya tidak menyertai mana-mana aktiviti yang dianjurnya. Saya ingat lagi, saya terpaksa mengorek tabung besi milik abang saya secara senyap-senyap disebabkan saya ingin sangat mengikuti aktiviti berbasikal yang dianjurkan oleh Cikgu Kamarulnizam dihujung minggu. Aktiviti ini penting kerana dengan menyertainya membolehkan saya memiliki 'Lencana Berbasikal' untuk di tampal di lengan kiri unifom pengakap saya. 

Sehinggalah pada suatu hari saya dikhabarkan Cikgu Kamarulnizam dikehendaki untuk berpindah sekolah. Semenjak dari itu persatuan pengakap sekolah menjadi hambar. Tapi tidak semangat saya. 

"Cikgu ini apa?" Sambil melihat takjub tali berwarna kuning di baju unifom Cikgu Kamarulnizam

"Ini Rambu Pengakap Diraja woo." jawab Cikgu Kamarulnizam senafas

"Woah..macam mana cikgu boleh dapat?" Masih penuh perasaan ingin tahu

"Senang je, awak pun boleh Sharizan. Tapi cuba dapatkan Rambu Pengakap Kanak-kanak dahulu."

"RAMBU PENGAKAP KANAK-KANAK?!"


Saya beruniform Pengakap
Disebabkan cikgu baru yang mengambil alih Persatuan Pengakap sekolah saya agak perlahan dan ketika itu saya fikirkan ini tidak boleh jadi. Jadi saya mengajak rakan rapat dan yang sealiran dengan saya untuk bersama-sama berjuang untuk menjadi individu pertama di sekolah saya yang memiliki ataupun dianugerahkan anugerah terhebat dalam pengakap kanak-kanak iaitu Rambu Pengakap Kanak-kanak!

Dengan kecekalan, kekebalan dan kejituan hati, kami berempat iaitu saya, Faiz, Shahril dan Fitri telah bersetuju untuk berjumpa selepas waktu persekolahan dengan Guru Besar sekolah disebelah sekolah kami yang juga merangkap Pesuruhjaya Pengakap Daerah Manjung untuk menyatakan hasrat kami iaitu memiliki rambu biru keramat tersebut.

Bayangkan betapa hebatnya semangat kami sehingga berjaya mengetepikan semua rasa takut, gerun, kecut perut, gementar, gusar dan gundah untuk bertentang mata dan bersua muka dengan sosok tergerun ketika itu. Ketika saya masih berumur 12 tahun, ketika saya masih mentah, ketika saya masih bersekolah rendah, ketika saya masih minta emak saya untuk bancuhkan milo dimalam hari dan ketika saya masih jahil.

Saya ingat lagi raut takjub disosok muka Cikgu Ramli selepas saya menceritakan, berkongsi dan mengadu semua permasalahan kami, kekangan kami, keinginan kami dan hasrat kami kepadanya. Cikgu Ramli bersetuju dengan rela hati untuk membantu empat budak berhingus ini mencapai impiannya tanpa sebarang bayaran dan syarat. 

Alhamdulillah akhirnya saya dianugerahkan dan memiliki Rambu Pengakap Kanak-kanak! 

Menjadi salah seorang murid pertama di sekolah saya memiliki rambu tersebut, menjadi idola dalam persatuan pengakap sekolah saya, menjadi bahan bualan dan pujian cikgu-cikgu di sekolah saya, menjadi kebanggan cikgu Kamarulnizam dan menjadi salah satu detik bahagia di dalam hidup saya!





Comments

Popular Posts