Setanggi Syurga



"Ding dong...ding dong..." 

Bunyi bingit loceng dari bilik pengawas asrama berbunyi tepat jam 11.30 pagi.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh." 

Lafas yang senafas dengan lenggok arab pekat bergema satu asrama di corong pembesar suara berwarna merah garang. 

"Diminta......."

Pengawas yang bertugas sengaja menghentikan sejenak pengumuman untuk memberi unsur suspen dan menagih perhatian dari seluruh warga aspura. Sunyi. Sepi.

".......kepada.."

Berhenti.

".....pelajar bernama.."

Berhenti lagi.

"..... Mohamad Sharizan bin Abdul Hamid dari Dorm Suhaib..." 

Abg Harun, pengawas bertugas hari ini meneruskan pengumumannya dengan suara serak basahnya.

"Sila datang ke perkarangan asrama sekarang, kerana ibubapa anda ingin berjumpa." 

Abg harun leka melantunkan alunan suara yang paling terbaik di microphone sambil tangan kiri menekan butang di radio memperlahankan lagu Setanggi Syurga nyanyian kumpulan Inteam. Salah satu lagu nasyid kesukaan saya.

"Diulangi........"

Abg Harun meneruskan tugasnya

"Abg Harun...tak payah ulang!!"

Separuh menjerit dan separuh berbisik kepada Abg Harun. Sambil nafas tercungap-cungap akibat berlari laju dari tingkat tiga. Sambil tangan sibuk mengenakan butang di baju kemeja. Sambil membetulkan kolar baju. Sambil terjengket-jengket membetulkan tapak kaki di dalam kasut kulit hitam bundle. Sambil menggeleng kepala.

"Amboi cepatnya!"

Tempelak Abg Harun.

"Sprinter sekolah kan."

Balas saya sambil senyum menyeringai

"Oh yelaaaahhh......"

Abg Harun buat muka diikuti mata pandang ke atas tangan ke bahu

"Ok lah. Saya pergi dulu ye. Terima kasih Abg Harun."

Sambil berjalan meninggalkan tempat pengumuman di bilik pengawas melalui koridor yang di kirinya terletak watercooler dan di kanannya taman mini asrama yang tidak ubah seperti hutan khatulistiwa mini.

"Shah! Nanti jangan lupa bawak balik makanan sikit!"

Jerit Abg harun dari dalam bilik pengawas.

"Baik!"


Saya meminati lagu Setanggi Syurga sejak dari tahun 2004 lagi. 16 tahun yang lepas. Zaman rambut belah tengah. Zaman jalan cover. Zaman ana anta. Zaman pakai songkok tapi rambut terkeluar di depan. Zaman pengawas sekolah. 

Saya membesar dengan lagu-lagu nasyid. UNIC, InTeam, Hijjaz, Raihan, Rabbani, Mestica, Mirwarna, Dehearty, Saujana, NowSeeHeart dan banyak lagi kumpulan nasyid dengan lagu-lagu berkualiti yang mewarnai zaman remaja saya. Banyak kenangan indah dan manis yang tercipta. Itulah sebabnya apabila saya terdengar lagu nasyid saya akan menjadi diri saya yang remaja kembali. Ehem.






Versi 2020



Versi sekolah menengah

Comments

Popular Posts