HUJAN



Assalamualaikum. Selamat pagi. Salam ramadan. Selamat menjalani ibadah puasa hari yang ke-5. Tanpa kita sedari waktu terus berjalan. Berlari meninggalkan kita. Sekejap sahaja sudah lima ramadhan dan harini merupakan hari pertama saya bersahur. Dengan segelas air kosong dan dua keping roti gardenia butterscotch saya pun menjamah dengan tenang di bucu katil di bilik saya di subuh hari. Biasalah orang bujang.

Sementelah saya berjaya bersahur pada hari ini, berjaya menepis nafsu tidur saya yang mencengkam, berjaya menempelak maha malas diri saya untuk bangkit dari tilam yang empuk. Saya merasakan kejayaan ini merupakan suatu pencapaian baru dalam hidup saya. Saya disuntik rasa bangga, bahagia dan gembira. Saya rasa saya. Saya rasa ini yang saya mahukan selama ini. Kegembiraan ini yang dicari. Saya rasa sempurna dengan melakukan dan mengikut kata hati. 

Hati tak pernah menipu. Sahur adalah sunnah. Saya berbunga ceria. 

Disebabkan saya seronok kerana berjaya bersahur sebentar tadi. Maka saya pun membuat keputusan untuk tidak menyambung tidur saya semula selepas sahur. Saya bersetuju dengan diri saya untuk mengisi masa subuh saya dengan membaca buku. Buku The Power of Habit oleh Charles Duhigg yang telah saya baca dua minggu lepas, yang telah lama saya tidak usik, terdiam kaku di atas meja di sisi katil saya telah saya ambil semula dan baca pada subuh pagi ini. Ini bukanlah tindakan biasa-biasa. Ini perkara luar biasa dan rasa yang bukan biasa.

Buku bau harum. Subuh penenang jiwa. Hati basah.

Oleh kerana saya gembira kerana berjaya bersahur pada hari ini dan berjaya menghabiskan tiga bab buku yang saya baca pada pagi ini. Saya telah membuat keputusan untuk pergi ke pejabat lebih awal pada pagi ini. Saya merasakan adalah satu pencapaian yang hebat dalam diri saya jika saya sampai di pejabat lebih awal dari semua orang, lampu kalimantang pejabat saya terpasang cerah lebih awal dari semua orang dan memulakan hari saya pada hari ini dengan lebih awal dari hari-hari saya yang lepas. Hati saya menyanyi riang.

Mandi. Solat. Loreng.

Tanpa melengahkan masa saya pun memulakan perjalanan saya ke pejabat pada pagi ini. Gembira, ceria, berbunga, bersemangat, bersedia dan bermotivasi. Dengan lafaz bismillah saya pun membonceng motorsikal kesayangan saya tepat jam 0715. Hujan renyai-renyai menambah kedinginan pagi di Kuala Lumpur. Sampai di simpang depan, motorsikal EX5 berwarna hitam dari arah bertentangan melanggar motorsikal saya. 

Hidup tak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam

Nasib saya baik. Tiada apa-apa yang berlaku. Motorsikal kesayangan saya rebah di jalan raya pagi ini. Menyembah tar hitam yang berbau basah. Hujan renyai-renyai menghempas besi yang kaku terbaring. Cat kuningnya tercalar sedikit. Terkehel manja handle motorsikal saya. 

Itulah kehidupan. Penuh dengan misteri.

Mungkin kita gembira di waktu pagi dan akan sedih di petang hari

Mungkin kita tidak bersemangat di hari semalam tapi kita paling bermotivasi pada hari ini

Mungkin orang yang paling kita rapat akan jadi orang yang paling jauh sekali

Mungkin orang yang paling kita cinta dahulu akan jadi orang yang paling kita benci sekarang

Mungkin kita pernah tidak percaya pada seseorang tetapi sekarang menjadi sahabat berkongsi rahsia

Mungkin dahulu sahabat tetapi sekarang musuh

Mungkin dahulu berkongsi kasih tetapi sekarang bercerai kasih

dan banyak lagi mungkin..

Apa yang saya tahu, saya terus mengangkat motorsikal saya, memeriksa kondisi motorsikal saya, betulkan cermin pandang belakang yang senget, tekan butang start, pandang ke hadapan dan meneruskan perjalanan ke tempat kerja saya.

Seperti juga kehidupan, jika kita ditimpa musibah, diberi dugaan dan dilanda ujian, kita kena tabah, pasrah, redha dan sabar menerima dan menghadapinya. Apa yang paling penting adalah berapa cepat kita boleh melantun semula (bounce back) ke keadaan asal ataupun menjadi hampir seperti asal. Boleh?







Comments

Popular Posts