TEROESIR
"MAAF? KAU REGAS SEGENAK PUCUK PENGHARAPANKU, LALU KAU PATAHKAN. KAU MINTA MAAF?!" - Zainuddin
"Engkau yang sanggup menjadikan saya seseorang yang gagah berani, engkau pula yang sanggup membuat saya sengsara selamanya." - Zainuddin
Itulah diantara kata-kata yang diucapkan dan dilontarkan oleh Zainuddin kepada Hayati di dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang merupakan salah satu filem yang telah diadaptasi dari novel Buya Hamka. Seperti selalunya filem dari negara seberang tidak pernah mengecewakan dan mempunyai kualiti yang hebat.
Untuk pengetahuan semua, Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck telah saya beli dan baca ketika kembara solo saya di Jogjakarta dan Malang pada tahun 2014. Walaupun novel tersebut menggunakan sepenuhnya Bahasa Indonesia tetapi demi minat yang mendalam terhadap sastera Indonesia saya gagahkan diri untuk menghabiskan novel tersebut. Bagi saya kosakata yang digunakan di dalam novel tersebut dan novel-novel Indonesia saya yang lain masih boleh difahami dan masih boleh dibaca. Mungkin beberapa patah perkataan Indonesia yang berbeza dan asing, tetapi saya masih boleh mengerti keseluruhan ayatnya. Ahh..rindu Toko Buku Gramedia.
Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini telah saya tonton buat pertama kalinya di Youtube. Saya ingat lagi betapa seronok dan terujanya saya apabila mengetahui filem ini telah ada di Youtube dan saya boleh menontonnya di Malaysia (zaman dulu tiada Netflix). Malangnya filem yang dimasukkan ke dalam Youtube tersebut tidak berkualiti dan tidak mempunyai sarikata Bahasa Melayu walhal banyak perbualan di dalam filem ini menggunakan bahasa Minang, Makassar, Jawa dan Padang. Jadi saya teruskan juga menonton dan cuba memahaminya mengikut firasat saya sendiri.
Saya ini jenis yang tidak suka menonton filem yang sama berulang kali. Bagi saya lebih baik saya habiskan satu jam setengah atau dua jam yang saya ada untuk menonton filem yang belum saya tonton daripada menggunakan masa tersebut dengan menonton filem yang telah saya tonton. Sama juga seperti di dalam kehidupan, buat apa kita nak kasihankan pada pokok yang kepanasan di taman? buat apa nak paksa orang bisu menyanyi? buat apa kita marahkan ayam yang berkokok? buat apa kita sedih pada perkara yag sedih? Eh.
Akhirnya pada malam semalam saya berjaya menonton semula sehingga habis dan memahami sepenuhnya filem hebat lagi epik Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Saya tonton sambil meniarap di atas katil beralaskan patung gajah gebu saya di bilikku syurgaku di Wisma Perwira ATM. Selepas menonton di Netflix dengan sarikata Bahasa Melayu, sepenuhnya HD di MacBook Air barulah saya mengerti sepenuhnya kisah cinta diantara Zainuddin pemuda malang dengan si cantik Hayati.
"Cinta buka melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan sedu-sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh ombak dan duri penghidupan." - Hayati
Sepanjang menonton filem ini, watak Zainuddin merupakan watak yang paling dekat dengan saya. Disebabkan lakonan yang hebat dan penghayatan yang padu membuatkan kesengsaraan, penderitaan dan kesedihan yang dirasai oleh Zainuddin akibat putus cinta dapat dirasai juga oleh saya. Ada beberapa babak yang berjaya membuatkan saya sebak, emosi, empathy dan hampir merembeskan air mata saya tetapi berjaya saya seka. Betapa dalam, tulus, ikhlas dan hebatnya cinta Zainuddin terhadap Hayati sehinggakan Zainuddin jatuh sakit berbuan-bulan, terlantar lemah di atas katil tidak mampu menggerakkan seinci otot, tidak lalu makan sehingga badannya kurus kering, tiada semangat untuk hidup, meneruskan kehidupan dan menghidupkan cita-citanya, malah Zainuddin menjadi gila sehinggakan bercakap sendirian dan menganggap orang disekitarnya adalah Hayati. Betapa hebatnya kesan patah hati, remuk hati, sakit hati dan jauh hati terhadap Zainuddin. Saya ingatkan kesan yang saya hadapi sudah cukup maha hebat tetapi rupanya Zainuddin lagi hebat.
Saya selalu takjub dan iri hati dengan individu-individu yang pernah kecewa, patah hati, kesedihan, kecil hati dan jauh hati ini menggunakan rasa dan perasaan negetif itu ke arah yang positif. Contohnya seperti Zainuddin. Selepas sekian lama bersedih, merosakkan diri sendiri, menghancurkan harga diri dan menyalahkan semuanya pada takdir akhirnya dia bangkit kembali. Dengan kata-kata semangat dari Bang Muluk akhirnya Zainuddin kembali bersemangat untuk menulis dan menghikayatkan cerita cintanya di dalam bentuk penulisan di surat khabar utama di Jogjakarta. Akhirnya penulisan berkualitinya dibukukan dan mendapat sambutan yang hebat dari anak-anak gadis yang ingin belajar tentang cinta sejati. Akhirnya Zainuddin berjaya, kaya dan mahsyur.
Contoh yang lain adalah seperti Adele yang berjaya menulis, menyusun, menggubah berpuluh-puluh lagu cinta kesan daripada putus cinta. Antara lagu Adele yang saya minat adalah Rolling in the Deep, Someone Like You, Skyfall, Set Fire to the Rain, Turning Tables, Chasing Pavement dan banyak lagi.
Contoh yang lain adalah Katy Perry. Katy Perry merupakan salah seorang penyanyi kegemaran saya. Katy Perry banyak menulis lagunya mengikut pengalaman dan perasaannya. Antara lagu Katy perry yang saya minat adalah Lost, Thinking of You, The One That Got Away, Unconditionally, Part of Me, dan yang terbaharu Never Worn White.
Contoh yang seterusnya adalah Saari Amri. Saari Amri merupakan seorang penulis lirik dan komposer lagu. Lagu-lagu cinta yang dihasilkan oleh beliau begitu bermakna dan menusuk kalbu kerana dipercayai adalah hasil daripada pengalaman cinta dan hidup beliau sendiri. Saari Amri telah menghasilkan lebih dari seribu buah lagu dan kebanyakkan lagu-lagu beliau merupakan lagu hits. Antara lagu-lagu beliau adalah Setelah Aku Kau Miliki, Disana menanti Disini Menunggu, Madah Berhelah, Kekal, Gerimis Mengundang dan banyak lagi.
Malangnya dan masalahnya perkara seperti ini tidak terjadi kepada saya.
Bukan tidak berlaku tetapi belum berlaku 😊
ReplyDelete