RENJANA
Saya tidak pernah sakit. Ye saya tidak pernah sakit. Saya tidak pernah jatuh sakit. Sepanjang saya hidup di muka bumi ini saya tidak pernah sekali pun jatuh sakit yang teruk. Saya tidak pernah di masukkan ke hospital atau ke klinik disebabkan sakit. Sejak dari saya lahir, masuk taska, masuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, zaman universiti sehinggalah sekarang saya tidak pernah bermalam di hospital disebabkan sakit. Saya tidak pernah terlantar dirumah disebabkan saya sakit. Saya tidak pernah cuti dari sekolah disebabkan saya sakit. Bahkan pengsan pun saya tidak pernah. Saya tiada pengalaman untuk rasa sakit.
Demam, batuk, selesema atau pening kepala bagi saya adalah sakit biasa. Sakit yang sekejap. Sakit yang mengada. Sakit yang datang dan pergi. Sakit yang singgah dan lalu. Pagi pening dan berat kepala, petang sudah sembuh. Malam batuk-batuk dan gatal kerongkong, pagi esok sudah lega. Semalam demam, subuh esok sudah kebah. Itupun saya boleh kira berapa kali sahaja dalam setahun saya akan demam, batuk, selesema ataupun pening kepala. Saya tiada pengalaman sakit.
Sakit yang paling teruk saya rasa semasa saya kecil adalah sakit ketika saya bersunat. Sakit bersunat bukanlah dikategorikan sebagai sakit kerana sakit ini perlu dilalui oleh semua rakan-rakan saya. Saya ingat lagi ketika doktor bertanya siapa yang akan bersunat dahulu diantara abang saya dan saya. Tanpa membuang masa abah saya membawa abang saya masuk ke dalam bilik pembedahan. Sepanjang tempoh abang saya disunatkan, abang saya tidak mengeluarkan sebarang bunyi pun dan abang saya meminta abah saya tunggu diluar sementara dia disunatkan. Apa yang lebih menarik, abang saya keluar dari pintu bilik pembedahan selepas disunatkan dengan senyum lebar keceriaan walaupun jalan terkangkang-kangkang. Tapi tidak bagi saya. Saya sangat takut, cemas, gementar dan berpeluh-peluh. Saya mahukan emak, opah, atok dan abah saya ikut sekali masuk ke dalam bilik pembedahan. Saya tak nak saya dibiarkan bersama doktor dan jururawat yang asing menggergaji saya. Disebabkan saya terlalu gemuruh saya dikenakan tiga kali suntikan ubat bius oleh doktor dengan harapan saya tidak rasa sekelumit pun rasa sakit. Saya ingat lagi kata-kata atok saya selepas kami pulang ke rumah. Atok saya cakap saya ini 'otak keling' yang bermaksud saya ini banyak ragam, banyak kerenah dan suka berlebih-lebih. Tapi yang sebenarnya, saya tidak pernah rasa sakit dan takut untuk rasa sakit.
Saya pernah demam pada tahun 2015. Itulah rekod demam yang paling teruk sepanjang hidup saya. Hampir lima hari badan saya tidak selesa dan saya tidak selesa dengan badan saya. Saya demam selepas saya pulang dari kembara saya di Turkey selama sebulan. Emak saya cakap saya demam sebab saya rindukan Istanbul. Adik perempuan saya cakap, saya demam sebab saya mengada. Apa yang saya tahu badan saya sekejap panas dan sekejap sejuk, saya tiada selera makan, bila baring saya rasa pening kepala dan bila duduk kepala saya rasa berat sekali. Saya cuba ikut nasihat emak saya untuk minum banyak air dan paksa diri untuk makan tetapi akhirnya saya muntah semuanya. Saya ingat lagi kucing kesayangan saya iaitu Toto menjilat licin muntah-muntah saya demi menunjukkan keperihatinan, kesetiaan dan empati dia kepada saya. Saya ingat lagi emak dan abah saya terpaksa membeli makanan permintaan saya seperti pisang, buah anggur, buah betik, roti Gardenia Butterscotch, bancuh air milo panas, masak bubur ayam, masak sup ayam, buat cucur ikan bilis dan beli air kelapa muda untuk saya makan ketika saya demam. Akhirnya abah saya menyarankan saya untuk ke hospital. Petang itu juga saya dan emak saya terus ke hospital bahagian kecemasan. Walaupun doktor yang memeriksa saya ketika itu mengesyaki saya ada demam denggi tetapi selepas melihat keputusan ujian darah, saya didapati hanya demam biasa. Saya meminta doktor untuk masukkan saya air (IV drip) dan esoknya alhamdulillah saya kembali sihat. Sejak dari itu emak dan adik-adik perempuan saya banyak membahan saya dengan menceritakan pengalaman mereka menjaga saya kepada adik beradik saya yang lain, opah dan atok saya dan saudara mara saya tentang teruknya saya ketika saya demam tempoh hari.
Kan saya dah cakap saya tak pernah rasa sakit.
................................................................................................................................................................
Saya tidak pernah bercinta. Ye saya tidak pernah bercinta. Saya tidak pernah rasa cinta. Sepanjang saya hidup dimuka bumi ini saya tidak pernah jatuh cinta. Saya tidak pernah ada rasa cinta. Saya belum pernah mencintai seseorang. Saya belum pernah memberi hati saya pada seseorang. Sejak dari saya lahir, masuk taska, masuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, zaman universiti sehingglah sekarang saya tidak pernah mencintai seseorang. Saya tidak tahu apa itu cinta. Saya tidak pernah mencintai. Saya tiada pengalaman dalam cinta dan bercinta.
Ketika saya di sekolah rendah saya banyak menghabiskan masa saya dengan melakukan pelbagai perkara yang berfaedah. Saya selalu pergi ke pusat sumber sekolah, saya banyak menghabiskan masa membaca buku-buku yang dipinjam di perpustakaan sekolah, saya aktif dalam persatuan pengakap, saya sibuk melengkapkan buku-buku log pengakap saya, saya mencari duit poket dengan menjual kacang kuda rebus dan kacang tanah goreng di sekolah agama, saya sibuk mengumpul dan bertukar-tukar pelekat pokemon sehinggakan saya menang permainan gameboy, saya kumpul setem dan sampul surat hari pertama, saya main gelongsor menggunakan kotak di bukit tepi blok rumah saya, saya meronda basikal dengan kawan-kawan saya sehingga ke taman monyet di tepi laut, saya belajar berkumpulan pada setiap hujung minggu di setiap rumah kawan-kawan saya yang bertukar menjadi aktiviti makan berkumpulan setiap hujung minggu di setiap rumah kawan-kawan saya. Saya tiada masa untuk bercinta.
Semasa saya di menengah rendah iaitu ketika di tingkatan 3 saya pernah suka pada seseorang. Saya namakan sidia Anju. Rupa-rupanya Anju pun suka pada saya. Saya suka melihat kelembutan wajah Anju, tertib tingkah laku Anju, manis senyuman Anju, putih mulus kulit Anju dan kebijaksanaan Anju. Kami selalu bertukar-tukar surat dan hadiah dengan menggunakan orang tengah disebabkan sekolah saya melarang untuk pelajar lelaki dan perempuan berjumpa. Kami juga sempat beberapa kali bersua muka dan bertemu muka secara rahsia. Selepas keputusan peperiksaan PMR keluar, Anju telah bertukar sekolah dan perhubungan kami bernoktah disitu. Saya tidak rasa suka itu cinta.
Samasa saya di menengah atas iaitu di tingkatan 5 saya pernah minat pada seseorang. Saya namakan sidia Zinnirah. Rupa-rupanya saya tidak bertepuk sebelah tangan. Saya minat pada Zinnirah kerana Zinnirah seorang yang ceria, lantang bersuara, sempoi, bersahaja, beremosi, tidak malu dan sedikit gila-gila orangnya. Disebabkan kami sudah senior ketika itu dan kami berdua adalah pengawas sekolah jadi tidak menjadi masalah untuk kami berjumpa, bersembang, bertukar-tukar buah fikiran dan berkongsi lagu kegemaran diantara satu sama lain. Tetapi budaya mengutuskan surat dengan menggunakan orang tengah atau menyelit surat di celah buku di bawah meja tetap menjadi budaya. Selepas keputusan peperiksaan SPM keluar kami membuat haluan masing-masing. Saya pasti rasa minat itu bukan cinta.
Kan saya dah cakap saya tidak pernah rasa cinta.
..................................................................................................................................................................
Tanpa saya sedari akhirnya saya diberi peluang untuk rasa cinta. Saya juga diberi peluang untuk rasa sakit. Disebabkan ini merupakan pengalaman pertama saya rasa cinta dan juga merupakan pengalaman pertama saya rasa sakit membuatkan saya tidak bersedia untuk rasa ini dan pengalaman ini. Walaupun rasa dan pengalaman ini amat teruk, kehidupan tetap perlu diteruskan walaupun perlu bertatih dan dipapah.
"Hidup ini memang palat, tapi esok masih ada."
Jadi kesimpulannya, adakah cinta itu menyakitkan?
ReplyDelete