MENULIS



Hari ini saya tidak dapat untuk menulis panjang. Walaupun hari ini adalah hari Ahad. Hari cuti umum. Hari cuti dihujung minggu. Hari untuk diri sendiri. Hari untuk berehat. Hari untuk mengumpul semula tenaga yang hilang dan habis digunakan pada hari-hari di minggu yang lepas, tetapi itu semua adalah kenangan bagi hari-hari Ahad yang lalu. Hari ini hari Ahad dan saya tetap harus bekerja. 

Dalam beberapa hari ini saya ada terfikir berkenaan suatu perkara. Perkara yang bermain dan berlegar-legar di dalam otak hadapan saya. Saya ingin menulis tentang fikiran tersebut. Mengeluarkan, menjelmakan dan menterjemahkan pemikiran saya dalam bentuk penulisan. Disebabkan saya baru sahaja mula berjinak-jinak di dalam dunia penulisan, jadi saya tidak pasti bagaimana saya ingin bermula. Ditambah pula dengan ketidaktetapan diri. Sekejap bersemangat sekejap kelam. Kadang punya jutaan idea, kadang kosong tin. Semalam semangat membara, esok suam kuku. Macam dalam lirik lagu Damba Cintamu oleh Raihan dan Alif Satar yang tengah popular semula sekarang, iaitu 'pagiku ingat, petangku alpa'.

Sesungguhnya bukanlah mudah untuk mengeluarkan, menjelmakan dan menterjemahkan apa yang ada di dalam fikiran ke dalam bentuk penulisan. Lagi-lagi penulisan yang boleh membuat orang mengerti dan memahami maksudnya sepenuhnya. Belum cakap berkenaan penulisan yang berkualiti apatah lagi mengikut standard penulisan sastera melayu. Sedangkan untuk mencari perkataan melayu yang sesuai untuk digunakan di dalam sesuatu ayat pun susah. Asyik terkeluar perkataan english sahaja. Apatah lagi untuk membentuk satu ayat, satu perenggan, satu karangan, satu artikel, satu manuskrip dan sebuah buku.

Comments

Popular Posts