RUANG
Bersama Toto di halaman rumah saya. |
Keluarga saya besar. Abah, Mak, tujuh orang beradik iaitu Along, Abang Nyah, saya, Abang Uda, Kak Teh, Kak Cik, Yani dan kucing keluarga kami iaitu Toto yang subur. Disebabkan abah saya bukan seorang ahli politik dan bukan juga seorang ahli konglomerat yang berjaya, jadi kami sekeluarga bersyukur seadanya dengan mendiami kuarters rumah keluarga yang memiliki tiga buah bilik, satu tandas, satu bilik air, ruang tamu, ruang dapur, ruang setor dan balkoni yang sentiasa penuh dengan baju tersidai dari pagi dibawa ke petang dan dibawa hingga ke malam jika masih belum kering.
Bilik yang paling besar di dalam rumah ini walaupun tidaklah sebesar mana, semestinya bilik mak dan abah saya. Disebabkan bilik ini penuh dengan barang-barang mak saya sehingga merebak di setiap inci di rumah kami ini dengan barang-barang milik mak saya, manakala abah saya pula lebih suka tidur diruang tamu dan banyak menghabiskan masa beliau dengan duduk berehat-rehat menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut di balkoni dari berada di dalam bilik, jadi bilik besar ini kami sekeluarga panggil bilik mak.
"Along..ambil gunting jahit baju dalam bekas benang dalam bilik mak."
"Abang Yang...nanti sapu sekali bilik mak lepas sapu bilik Along."
"Abang Nyah..ambil beg abah kat bilik mak."
"Mak kat dalam bilik mak ni."
Balik yang kedua besar dan paling dekat dengan bilik air adalah bilik along saya. Along saya seorang yang penakut, oleh sebab itu bilik along saya paling dekat dengan ruang tamu, dengan harapan makhluk halus akan tidak berani singgah di bilik tersebut apabila mendengar bunyi bising dari televisyen dan gelak ketawa kami sekeluarga di ruang tamu. Along saya juga seorang yang kuat kencing malam semasa dia kecil, mak saya cakap. Jadi apabila bilik along saya bertentangan dengan bilik air, hanya tiga langkah sahaja pintu bilik air dengan pintu bilik along saya, jadi dapat memudahkan urusan beliau. Itulah perkiraan mak saya.
"Mak..Abang Yang longgok sampah depan bilik along!"
"Abah...Abang Nyah tengah gaduh dengan along dalam bilik along!"
"Oooo...Ude main patung kertas Along dalam bilik Along."
Bilik yang terakhir, bilik yang paling kecil dan bilik berbentuk segi empat tepat adalah bilik saya berkongsi dengan Abang saya. Bilik ini sesuai untuk anak lelaki mengikut firasat mak saya kerana bilik ini ada tingkap yang besar menghadap ruang luar rumah. Tingkap ini pula menghadap ruang pejalan kaki yang sentiasa sibuk dengan jiran-jiran lalu lalang untuk membuang sampah disebabkan rumah kami terletak betul-betul bersebelahan tempat membuang sampah. Jadi mak tak risau kalau ada orang mengendap saya dan abang saya dari luar tingkap, atau ada orang cuba panjang tangan mengambil barang saya dan abang saya dari luar tingkap atau ada orang mahu mengacau saya dan abang saya disebabkan kami lelaki. Lelaki kan kuat, hebat, gagah, perkasa dan melindungi.
Adik-adik saya yang lain semua menumpang di bilik mak saya.
Selepas abah pencen kami sekeluarga pindah dirumah yang lebih besar. Besar mengikut perkiraan rakyat biasa yang pencen kerja kerajaan berpangkat biasa-biasa, beristeri seorang, beranak tujuh dan memiliki seekor kucing yang suka merayap. Bukannya rumah sebesar rumah Alif Syukri ataupun semegah rumah Azhar Sulaiman apatah lagi segah istana Dato Seri Siti Nurhaliza. Rumah kami besar sedikit dari rumah kami sebelum ini tetapi kami tetap bahagia walaupun kami bersesak-sesak dalam keramaian.
Kali ini kami adik beradik sudah besar-besar belaka, jadi abah berfikiran yang rumah baru kami yang direka sepenuhnya pelan lantai oleh abah perlu ada empat bilik. Mengikut perkiraan abah yang bukan lulusan arkitek apatah lagi seorang kontraktor, bilik pertama yang terletak di ruang tamu hadapan adalah bilik untuk anak abah yang sudah berkahwin. Disebabkan along seorang sahaja yang sudah berkahwin dikalangan adik beradik kami, jadi bilik itu lama menjadi pegangan along. Mungkin kalau Abang Nyah saya kahwin dia akan duduk di situ pula. Tapi macam belum nampak ura-ura pun.
Bilik yang kedua adalah bilik anak lelaki. Bilik ini perlu dikongsi tiga jejaka pinggitan anak Pak Hamid iaitu Abang Nyah saya, saya dan adik saya iaitu Abang Uda. Disebabkan kami bertiga tinggal diasrama, belajar diuniversiti dinegeri lain dan bekerja jauh dari rumah, jadi bilik ini lebih kepada bilik menyimpan barang-barang kami daripada menjadi bilik untuk beradu.
Bilik yang ketiga adalah bilik anak-anak perempuan Cik Ina yang masih bujang iaitu adik-adik perempuan saya: Kak Teh, Kak Cik dan Yani. Walaupun mereka selalu bergaduh, bertikam lidah, tarik-tarik tudung, campak-campak baju dan berebut handset tetapi apabila waktu tidur pasti akan tidur bersama-sama sehinggakan matahari sudah tinggi di langit.
Bilik yang terakhir adalah semestinya bilik Mak dan Abah. Pada perkiraan saya bilik inilah yang paling kecil di dalam rumah kami. Dengan nisbah barang-barang mak dan barang abah dengan keluasan bilik tersebut amat jauh sekali. 5 nisbah 1. Lima dalah barang-barang mak dan abah. Satu adalah keluasan bilik tersebut. Itulah yang dikatakan pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah dan ibu, mak dan abah, papa dan mama, abi dan umi. Biar ruang tamu yang lebih besar dari ruang bilik yang besar agar kami sekeluarga lebih kerap berkumpul, berehat, bersama-sama di ruang tamu dari memerap di dalam bilik.
Sementelah itu, sejak dari saya kecil saya tidak pernah ada bilik sendiri ataupun memiliki ruang sendiri.
Jadi sejak dari saya kecil saya selalu bercita-cita dan memasang angan-angan untuk memiliki rumah sendiri. Rumah yang menjadi ruang peribadi, ruang sendiri, ruang privasi, ruang berkarya, ruang berehat, ruang mencari ilham, ruang untuk menulis dan yang paling penting ruang saya sendiri. I want my own space!
Angan-angin ini menjadi semakin memuncak apabila saya berjumpa dengan Mr Peter di Melbourne..
p/s: Disebabkan saya tidak sabar untuk merasmikan kuali tidak melekat Tefal yang baru saya beli semalam untuk mencuba memasak ayam. Saya akan sambung cerita saya selepas ini. Tunggu ye!
Comments
Post a Comment