PUASA


Saya dan Dr Izwan sudah bersedia untuk terbang

Sepanjang saya hidup dibumi ini, sekali sahaja saya diberi peluang untuk berpuasa di perantauan iaitu pada bulan puasa tahun 2018. Apa yang lebih menarik, perantauan yang dimaksudkan adalah di Cox's Bazar, Bangladesh! Tak pernah sekali-kali terlintas di fikiran saya untuk pergi ke sana apatah lagi untuk menjejakkan kaki di negara tersebut dan ini juga merupakan puasa saya yang paling mencabar sekali.

Peluang untuk pergi ke negara yang asing dan tidak pernah tersenarai di dalam senarai negara yang ingin saya lawati iaitu Bangladesh ini terjadi apabila saya dan Dr Izwan dikehendaki untuk menghantar sumbangan hari raya kepada petugas-petugas di Malaysia Field Hospital di Cox's Bazar, Bangladesh. Untuk pengetahuan semua, petugas-petugas ini memberi perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada semua pelarian Rohingya di kem-kem pelarian yang berada berdekatan dengan daerah Cox's Bazar.

Peluang ini merupakan peluang yang hanya datang sekali sahaja seumur hidup. Jadi saya dan Dr Izwan menyambutnya dengan tangan yang terbuka, dada yang lapang dan hati yang ikhlas walaupun terpaksa menerima kenyataan bahawa kami terpaksa beraya di perantauan pada tahun ini. Jauh beribu batu dari keluarga kesayangan saya dan jauh dari isteri, anak-anak dan keluarga tercinta buat Dr Izwan. Tapi demi tugas kami sambut cabaran ini dengan seluas senyuman.

Menanti untuk terbang ke bumi asing.

Dalam keterbasan waktu, kami berjaya untuk membeli tiket penerbangan pergi balik, menyelesaikan urusan visa di kedutaan Bangladesh, mengumpul dan membungkus barang-barang yang perlu dibawa ke Cox's Bazar, membuat permohonan untuk bertugas di luar negara, menukar duit Bangladeshi Taka dan mempersiapkan diri dari segi mental dan juga fizikal. Akhirnya semua urusan besar dan kecil malah halus berjaya selesai dalam masa dua hari waktu bekerja sahaja.

Disebabkan banyak barang dari Malaysia yang perlu kami bawa untuk menceriakan petugas-petugas di Malaysia Field Hospital yang tidak dapat pulang berpuasa dan beraya di tanah air. Jadi kami memilih untuk membeli tiket penerbangan kelas bisnes. Bukan untuk bermegah-megah, apatah lagi untuk berpoya-poya ataupun berpoyo-poyo tetapi disebabkan untuk memenuhi keperluan berat bagasi yang kami bawa dari Malaysia yang penuh dengan rendang, serunding, ketupat, dodol, lemang segera, pulut, kuah-kuah segera Brahims, biskut raya, kuih raya, bahan kering dan bahan basah untuk juadah hari raya di Cox's Bazar nanti.

Dengan penuh keazaman dan tawakal saya dan Dr Izwan terbang lah ke Dhaka, Bangladesh menaiki pesawat Malindo Air OD 0162 pada 13 Jun 2018 tepat jam 2220 dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Disebabkan ini merupakan julung-julung kalinya saya menaiki penerbangan kelas bisnes, jadi saya terasa amat teruja dan seronok. Tetapi saya terpaksa sorokkan perasaan saya yang meluap-luap ini disebabkan ingin menjaga tatatertib dan tingkahlaku saya dihadapan dan dipandangan Dr Izwan, pegawai atasan saya. Tetapi rupa-rupanya Dr Izwan pun merasa perasaan yang sama.

Untuk ke Cox's Bazar, Bangladesh, kami perlu menaiki dua pesawat iaitu dari KLIA ke Zia International Airport, Dhaka. Transit selama enam jam di Dhaka dan seterusnya menaiki pesawat seterusnya dari Zia International Airport, Dhaka ke Cox's Bazar Airport, Cox's Bazar.

Di sinilah kejadian bermula.

"Selamat pagi encik. Apa khabar? Ini adalah pilihan menu untuk sarapan sebentar lagi, encik boleh pilih salah satu ye." Sapa mesra pramugari Malindo yang cantik itu.

"Woah..meriahnya menu dia Tuan. Dari appetizer sampai dessert ada. Mesti sedap ni. Tuan nak makan yang mana satu?" balas saya dengan nada teruja dan ada sedikit jakun dihujungnya.

"Mana-mana pun okey." Balas Dr Izwan sambil mengesat-ngesat mata sambil membetulkan posisi duduknya.

"Tapi sekarang kan puasa. Macam mana nak makan Tuan? Boleh ke makan? Salah tak? Ke orang ingat kita orang Korea? Takkan taknak makan makanan di kelas bisnes? Tuan nak puasa tak?" Pelbagai persoalan timbul.

"Kita kan musafir." Balas Dr Izwan ringkas.

Dengan hati yang berbunga-bunga saya pun tanpa menoleh kiri dan kanan memesan makanan saya kepada pramugari cantik tersebut dan juga makanan untuk Dr Izwan juga. Tak sabar saya nak makan makanan yang sedap amat, mempunyai kelas tersendiri, disedikan dengan teliti, dijamin mutu kesegarannya dan menjadi impian ramai orang untuk menjamah makanan di kelas bisnes. Hemat saya.

Bagi saya peluang ini adalah peluang keemasan. Lagi-lagi ini merupakan kali pertama saya merasa untuk berada, jejak dan duduk di kelas bisnes dan mungkin merupakan kali ini sahaja. Jadi saya bersetuju dengan Dr Izwan untuk menangguh puasa saya pada hari ini dan menikmati hidangan juadah di kelas bisnes dengan amannya. Lagi-lagi kami adalah musafir yang bermusafir jauh bermarhalah-halah. Eh pramugari sudah sampai untuk menghidang makanan kami.

"Jemput makan encik." pelawa pramugari cantik tersebut sambil meletakkan dulang yang dipenuhi juadah yang menyelerakan.

"Bismillahirrahmanirrahim. Sedapnye nasi briyani ni." sambil menyuapkan sesudu nasi di dalam mulut dan melirik mata melihat Dr Izwan yang masih seronok berselimut.

"Tuan tak makan ke? Sapa aku perlahan.

"Makan lah. Aku puasa." ringkas dan padat jawapan Dr Izwan.

"Gulp." Serentak semua makanan di dalam mulut jatuh dalam trakea.

"Tuan ni....tadi cakap nak musafir sama-sama." Saya bermonolog dalaman sambil terus meyuapkan sesudu kari kambing di dalam mulut.


Makanan yang dihidangkan oleh pramugari cantik Malindo

Saya pun meneruskan makan sesudu demi sesudu, perlahan-lahan, tertib demi tertib, sorang-sorang dan paling senyap yang boleh dengan harapan masih dapat menjaga adab dan menghormati siapa-siapa yang sedang berpuasa di dalam kapal terbang ini. Terutamanya Dr Izwan yang sedang berdengkur di sebelah saya ini. Bukankah menghormati orang yang berpuasa pun dapat pahala? Sesungguhnya inilah cabaran yang paling mencabar dalam hidup saya sepanjang bertahun-tahun berpuasa di bulan puasa. Makan secara terbuka di bulan ramadan!

Sambil-sambil makan saya adalah sebut beberapa perkataan seperti 'aiggooo', 'chincaaa', 'bueeyyy', 'ottoke?', 'arasso!' dengan harapan penumpang yang duduk berdekatan dengan tempat duduk saya memahami.


Jangan risau saya sudah ganti puasa saya. 









Comments

Popular Posts