10 MANFAAT BERSENAM
"Macam mana nak kurus tapi tak perlu bersenam?"
"Ada tak ubat yang paling bagus untuk turunkan berat badan?"
"Kalau tak makan nasi boleh kurus tak?"
"Boleh tak makan cuka epal untuk kurus?"
"Makan apa boleh kurus cepat?"
"Makan nasi ke makan roti lagi bagus untuk turunkan berat badan?"
"Saya suka makan, tapi tak nak gemuk tapi tak suka berpeluh."
Berikut merupakan antara soalan-soalan ruji yang sering diajukan kepada saya. Tidak kira di dewan makan pegawai, di bilik operasi, di bilik mesyuarat, di tengah padang, di dalam baris pagi dan dipertemuan pertama kali. Itulah jenis soalan yang diberikan dan merupakan cabaran terbesar sebagai seorang pegawai pemakanan ataupun nutritionist di dalam Angkatan Tentera Malaysia khususnya dan di Malaysai secara amnya. Masyarakat menganggap pegawai nutrisi adalah bomoh kurus. Malangnya tidak.
Apa yang lebih menakutkan, semangat untuk menurunkan berat badan secara drastik dan memiliki bentuk badan yg diimpikan dengan bantuan daripada produk-produk masih lagi tinggi dalam masyarakat kita. Mentaliti sampah ini yang perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Jauh ke dalam gaung. Pakcik-pakcik, makcik-makcik, kawan-kawan, teman-teman, adik dan kakak percayahlah selain dapat menurunkan berat badan, terdapat banyak lagi manfaat lain apabila kita melakukan aktiviti fizikal, bersukan dan bersenam antaranya;
1. Bersukan boleh merembeskan hormon gembira. Tanpa kita sedari apabila kita melakukan senaman, tubuh badan kita bukan hanya bekerja untuk menguatkan dan menambah jisim otot kita malah ia juga akan mengeluarkan hormon-hormon gembira seperti dopamin, oxytocin, serotonin dan endorphin. Hormon-hormon yang dirembeskan ini akan membuatkan kita merasa seronok, ceria dan gembira. Perasaan-perasaan ini seterusnya akan memberikan mood positif kepada kita dan menggalakkan ke arah pemikiran, tindakan dan kehidupan yang lebih positif. Sebab itulah apabila kita lihat orang yang rajin bersukan, muka mereka akan berseri-seri penuh keceriaan. Hebat bukan?
2. Bersukan dapat melegakan tekanan. Semua orang punyai masalah di dalam hidup ini seperti pasangan yang tidak memahami, putus cinta, dimarahi cikgu atau majikan, pinggan pecah, kerja rumah yang bertimbun, pokok bunga mati dan pelbagai lagi masalah yang belum dan tidak dapat diselesaikan. Bersukan dipercayai dan diakui dapat melegakan tekanan perasaan dan tekanan pemikiran. Apabila kita bersukan seperti jogging dan cycling, kita akan membenarkan diri kita untuk menyedut udara yang tinggi kandungan oksigen, membenarkan mata kita melihat suasana persekitaran sekeliling, membenarkan minda kita berehat dari berfikir sebentar dan membenarkan kita untuk fokus kepada aktiviti sukan yang kita lakukan. Ini membuatkan kita merasa lega dan seterusnya melegakan dari tekanan. Individu yang tidak terlibat dalam aktiviti sukan cenderung untuk mempunyai masalah psikologi seperti agresif dan kemurungan disebabkan oleh tekanan hidup yang menjadikan mood mereka tidak stabil. Sebab itulah apabila kita berjumpa dengan orang yang rajin bersenam mereka seperti tiada masalah di dalam hidup mereka. Hebat bukan?
3. Bersukan membuatkan kita lebih bertenaga. Ramai yang berfikir apabila kita bersukan atau bersenam kita akan merasa penat. Malah ada yang takut merasa penat akibat bersukan. Sebenarnya tidak! Pemahaman atau pemikiran itu adalah salah sama sekali. Tubuh badan kita memang dicipta untuk bergerak, bersukan dan melakukan aktiviti fizikal kerana ianya dipenuhi otot. Apabila kita bersukan atau bersenam, otot kita akan menjadi lebih kuat, lebih banyak dan lebih tinggi jisimnya. Seterusnya tubuh badan kita akan lebih bertenaga dan kita akan menjadi seorang yang aktif dan lebih cergas. Sebab itulah apabila kita berjumpa dengan orang yang rajin bersenam, mereka akan nampak bertenaga dan bersemangat sekali. Hebat bukan?
4. Bersukan dapat memberi masa untuk diri sendiri. Ini merupakan salah satu sebab utama saya suka bersukan. Apabila saya keluar bersukan saya dapat memberi masa untuk diri saya sendiri tanpa ganguan dari siapa-siapa. Saya boleh bersatu dengan diri saya, mencipta dunia saya dan berada dalam pemikiran saya. Saya dapat berlari sambil mendengar lagu-lagu dari album artis kegemaran saya. Saya dapat berbasikal sambil mengingat kembali detik-detik atau moment-moment indah yang pernah terjadi di dalam hidup saya. Ataupun ketika saya hiking di bukit atau kaki gunung saya dapat melihat keindahan alam, takjub dengan kebesaran tuhan dan mengrefleksi diri. Sebab itulah kalau berjumpa saya selepas saya bersukan, saya akan lebih tenang dan zuhud. Betul kan?
5. Bersukan dapat mengawal berat badan. Bersukan merupakan cara yang paling terbaik, saya ulang sekali lagi, bersukan merupakan cara yang paling terbaik dan tersihat untuk menurunkan berat badan dan mengekalkan berat badan kita. Inilah yang telah disarankan di dalam Malaysian Dietary Guideline oleh Nutrition Society of Malaysia (NSM) dan Malaysian Dietitian Association (MDA). Semua orang sudah tahu tentang Nutrition-Energy Balance iaitu jika kita ingin mengekalkan berat badan yang ideal, kita kena melakukan aktiviti fizikal sama banyak dengan jumlah kalori yang diambil. Jika kita ingin menurunkan berat badan, kita kena meningkatkan aktiviti fizikal kita dan mengurangkan pengambilan kalori seharian kita. Jika kita ingin menambah berat badan, kita kena melakukan aktiviti fizikal secara minima dan meningkatkan pengambilan kalori harian kita. Sebab itulah jika kita berjumpa dengan orang yang gemar bersukan, mereka bangga dengan berat badan mereka. Hebat bukan?
6. Bersukan dapat mengelak dari penyakit merbahaya. Penyakit jantung, darah tinggi, diabetis dan obesiti merupakan antara penyakit yang sering dihidapi oleh masyarakat kita. Penyakit-penyakit ini merupakan antara penyakit Non-Communicable Disease (NCD) yang didapati oleh sesorang individu dari corak pemakanan dan gaya hidup. Apabila kita menjalani kehidupan yang sihat secara menyeluruh seperti melakukan aktiviti fizikal secara berterusan, makan makanan sihat dan hidup secara sihat, tanpa kita sedari kita dapat menjauhkan diri kita dari menghidapi penyakit-penyakit ini. Seterusnya menjadi individu yang sihat lahiriah dan zahiriah. Sebab itulah apabila kita berjumpa dengan orang yang gemar bersukan, mereka akan nampak sihat dan membuat kita berasa sihat juga. Hebat bukan?
7. Bersukan dapat memberi bentuk badan yang diidamkan. Apabila kita melakukan ativiti sukan, kita dapat membakar lemak yang berada di dalam tubuh badan kita. Lemak-lemak yang tersimpan di dalam tubuh kita ini bukan sahaja berbahaya kepada kesihatan diri kita tetapi boleh membuatkan bentuk tubuh badan kita tidak menarik. Dengan melakukan aktiviti sukan kardio seperti berlari dan berenang kita dapat membakar lemak di dalam badan kita dan seterusnya boleh membuatkan kita kurus secara sihat. Dengan melakukan aktiviti fizikal seperti angkat berat dan HIIT kita dapat membakar lemak di dalam badan kita serta menguatkan dan meningkatkan jisim otot kita seterusnya dapat membentuk bahagian otot yang kita mahu tonjolkan. Sebab itulah kita digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal campuran iaitu kardio dan juga angkat pemberat supaya kita dapat melihat keputusan yang maksima dari segi penurunan berat badan, penurunan peratusan lemak dan pembentukan otot. Sebab itulah apabila kita berjumpa dengan orang yang gemar bersukan, otot mereka akan nampak berketul-ketul dan membuat kita berasa cemburu. Ye bukan?
8. Bersukan dapat membantu corak waktu tidur kita. Bersukan juga dapat membuatkan kita memiliki tidur yang berkualiti. Ini terbukti apabila badan kita penat dengan aktiviti fizikal yang telah kita lakukan, kita akan mudah untuk lena di malam hari. Saya pernah bertanya kepada pakcik tua berbangsa cina yang telah melakukan 10 kali laps lebih dari saya di salah satu kolam renang di Kuala Lumpur. Jawapannya mudah iaitu dia bersemangat berenang pada petang itu supaya dia berasa penat dan seterusnya membuatkannya senang untuk tidur di malam hari nanti. Sebab itulah apabila kita berjumpa dengan orang yang gemar bersukan, mata mereka tiada eyebag dan lebam hitam di bawah matanya. Hebat bukan?
9. Bersukan dapat mengawal nafsu makan. Apabila kita rajin bersukan dan menjadikan aktiviti sukan sebagai rutin harian, tanpa kita sedari kita akan lebih menjaga kuantiti kalori yang kita benarkan untuk masuk ke dalam tubuh badan kita. Corak pemakanan kita akan lebih teratur. Waktu makan kita akan lebih terjaga. Kita akan lebih mementingkan kualiti dari kuantiti. Ini semua terjadi apabila kita telah mula memahami tentang konsep kalori dari makanan iaitu calorie intake dan calorie burned. Kita akan lebih tahu tentang betapa susah, payah dan penatnya untuk membakar semula kalori yang telah kita ambil dari makanan untuk dibakar semula dengan melakukan aktiviti fizikal seperti half marathon, marathon dan triathlon. Sebab itulah apabila kita berjumpa dengan orang yang gemar bersukan, mereka makan secara bersahaja dan bersederhana. Hebat bukan?
10. Bersukan boleh membuatkan kita berasa bangga dengan diri sendiri. Walaupun kita berjaya berjalan secara perlahan sebanyak 1KM mengeliling taman perumahan pada hari tersebut, kita patut merasa bangga. Walaupun kita berjaya menghabiskan larian 5KM mengeliling Tasik Titiwangsa pada hari tersebut, kita patut merasa bangga. Walaupun kita berjaya menghabiskan larian half marathon iaitu 21KM pada malam tersebut dengan catatan masa 3 jam, kita patut merasa bangga. Apa yang penting adalah kita telah melangkah. Apa yang penting kita telah memulakan larian. Apa yang penting kita telah membuat keputusan untuk bersukan. Apa yang penting kita telah membuat keputusan yang tepat. Apa yang penting kita telah membenarkan diri kita untuk menjadi sihat. Apa yang penting kita ke arah menjalani kehidupan yang sihat. Itu yang penting dan perlu dibanggakan.
JOM BERSUKAN!
Comments
Post a Comment