TRIP TERAKHIR SEBELUM COVID-19

SINGAPORE 2020

Saya sudah ke Singapura banyak kali. Saya pernah singgah di Singapura sehari sahaja disebabkan kapal terbang yang saya naiki transit di Changi Airport sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai. Saya pernah mengikuti program belia selama seminggu di Johor Bahru dan pada hari terakhir program kami beramai-ramai pergi ke Singapura untuk membeli-belah dan mencuci-mata dengan menaiki bas. Saya pernah ke Singapura hanya semata-mata mengikut kawan baik saya untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya yang menetap di sana. Saya pernah ke Singapura selama beberapa hari untuk berjumpa sahabat Turki saya yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran PhD di Singapore University. Saya pernah ke Singapura dengan menaiki keretapi dari KL Sentral ke stesyen Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang terhujung sekali di selatan iaitu Stesyen Keretapi Tanjung Pagar yang terletak di Singapura. Pada tahun 2020 sekali lagi saya berpeluang untuk ke Singapura dan trip ini merupakan trip yang paling diingati dan tertinggi darjatnya dalam ranking trip ke negara Kota Singa saya.

Kami empat beradik. Saya, Kak Teh, Kak Cik dan Abg Uda

Untuk trip ke Singapura pada kali ini, saya menggunakan dana dari duit lebihan yang saya ada dari percutian saya di Turki & Bulgaria pada penghujung tahun 2019. Jadi saya merancang untuk menggunakan duit lebihan yang tidak seberapa itu untuk melawat ke negara yang terhampir, terdekat, termurah, termudah, terselamat, dan terbanyak diskaun. Apa yang paling dititikberatkan adalah kos keseluruhan trip yang mampu dibiaya oleh saya kerana saya berniat untuk membawa adik-adik saya sekali. Niat ini tercetus kerana adik-adik saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki mereka ke negara Singapura yang merupakan negara jiran dan juga pernah menjadi sebahagian Malaysia suatu masa dahulu

Kami berempat makan kenyang-kenyang Chicken Rice Shop di KLIA2 sebelum terbang ke negara paling mahal di Asia Tenggara!

Selepas mencongak, mengira, menimbang dan menghitung, akhirnya kami memilih negara Singapura sebagai destinasi pilihan! Pertimbangan ini diputuskan serta merta ekoran syarikat penerbangan tambah murah terpopular di dunia iaitu AirAsia ada membuat promosi murah untuk penerbangan sehala ke Singapura ketika itu. Dikuatkan lagi pilihan ini adalah kerana saya teringin benar untuk melihat dengan mata kepala saya sendiri dan membawa serta memberi pengalaman baharu kepada adik-adik saya dari Kampung Lekir, Perak ke tempat-tempat ini di Singapura iaitu:

1. Melihat Jewel Changi Airport yang dikatakan sangat cantik, moden, baharu dan terkenal itu.

2. Merasa untuk tidur di Changi Airport seperti backpacker atau pengembara yang transit di airport.


3. Minum kopi di 'Singapore's Biggest Starbuck Outlet' yang juga terletak di Jewel Changi Airport.


4. Jalan-jalan menghirup udara segar dan melihat ribuan jenis flora dan fauna berkongsepkan english garden di Singapore Botanic Garden yang tersenarai di dalam UNESCO World Heritage Site!


5. Minum english tea sambil melihat keindahan panorama Marina Bay di The Clifford Pier by The Fullerton Bay Hotel Singapore


6. Mencuba Murtabak Singapura yang popular dan makan Nasi Biriani Singapura di Restoran Zam Zam yang terletak di depan Masjid Sultan


7. Jalan-jalan di Haji Lane untul melihat Street Arts


8. Minum petang di ATLAS yang merupakan salah satu restoran yang terkenal di seantero dunia.


9. Mencari street foods di Chinatown, Singapore


10. Bersesak-sesak di Little India, Singapore



11. Pusing-pusing di Marina Bay Sand


12. Tidur di backpackers hostel iaitu Pine Hostel @ Lavender yang menyeramkan


13. Menjadi kanak-kanak semula di Universal Studio Singapore


14. Acah-acah shopping seperti Crazy Rich Asian di butik LV Singapore yag terapung


15. Jumpa Merlion untuk kesekian kali


16. Merasa untuk naik bas mewah AeroLine untuk pulang ke Malaysia


Akhirnya kembara adik-beradik anak Pak Hamid ke Singapura selama 3 hari 2 malam dari 17 hingga 19 Januari 2020 telahpun sempurna. Banyak perkara dan kejadian yang berlaku sepanjang percutian ini yang mencipta memori dan memberi kenangan indah untuk dikenang. Ada yang baru perasan passport sudah tamat tempoh perjalanan ketika hendak daftar masuk penerbangan dikaunter AirAsia. Nasib baik pandai tawar-menawar akhirnya dibenarkan untuk terbang. Ada yang hilang Singapore Tourist Pass yang berharga S$ 20. Cubalah kira sendiri kalau duit Malaysia. Ada yang taknak tidur di airport tapi nak ikut trip ini. Ada yang tangan tak boleh diterima di mesin pengimbas dan macam-macam lagi.


Walaupun ini merupakan trip pertama kami adik beradik ke luar negara sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, tetapi semuanya berjalan lancar, dipermudahkan dan semua mendengar kata. Betullah kata-kata orang tua, air yang dicincang tidak akan putus. Amin.


K.A.M.I




Comments

Popular Posts