THE ARCHITECT'S APPRENTICE



YESS!! Akhirnya berjaya juga saya menghabiskan novel berbahasa inggeris yang paling tebal, yang penuh dengan tulisan sahaja, yang sarat dengan sejarah yang pernah saya baca di dalam hidup saya iaitu sebanyak empat ratus lima puluh lima mukasurat pada 3 Januari 2021 tepat pada pukul 6 petang. Novel The Architect's Apprentice ini merupakan novel keempat yang saya baca dari novelis tersohor dari Istanbul dan sekarang telah menetap di London iaitu Elif Shafak. Antara novel-novel beliau yang telah saya khatam ialah The Fourty Rules of Love, The Bastard of Istanbul, 10 Minutes 38 Seconds in This Strange World dan yang terbaru The Architect's Apprentice. 

Selain jalan cerita yang menarik, saya sangat meminati novel-novel sentuhan kreatif Elif Shafak ini adalah kerana gaya penulisannya yang senang untuk difahami dan diikuti lagi-lagi bagi individu seperti saya yang berlidahkan Melayu asli dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan penulisan sehari-hari. Ditambah pula kebanyakan cerita-cerita di dalam novel-novel Elif Shafak ini berlatarbelakangkan Istanbul yang merupakan bandar kegemaran saya dan Turki iaitu negara kesukaan saya. 

Saya memilih untuk membaca novel The Architect's Apprentice ini juga adalah kerana pada mulanya saya hanya ingin mengenali dengan lebih mendalam tentang sejarah hidup arkitek tersohor di zaman empayar Uthmaniah iaitu Mimar Sinan. Setiap kali saya ke Turki, saya pasti akan sentiasa takjub dengan kehebatan, kebesaran, kemegahan dan kehalusan hasil seni bina masjid-masjid di Turki yang kebanyakkan telah dibina oleh Mimar Sinan. Perasaan ini tidak pernah jemu, pudar dan hilang walaupun saya sudah diberi kesempatan sebanyak tiga kali untuk menjejakkan kaki kecil saya yang bersaiz 9US ini di tanah bersejarah Istanbul. Saya pasti akan berdiri kaku betul-betul dihadapan masjid ataupun camii tersebut, sambil tangan kiri memegang erat cawan kertas berisi kahve panas yang masih berasap, tangan kanan menyelok poket baju sejuk Uniqlo saya untuk mengelak kedinginan metropolis Istanbul, nafas dihembus perlahan dan mata tertancap melihat keindahan.

Semangat saya bertambah kuat dan memuncak untuk mengetahui susur galur kehidupan Mimar Sinan iaitu Chief Ottoman Architect ini apabila saya berpeluang untuk ke Edirne, Turki pada Disember 2019. Di bandar inilah tersergam indah Masjid Selimiye yang dikatakan sebagai binaan paling masterpiece oleh Mimar Sinan.







Comments

Popular Posts