HABIT
Baru-baru ini saya berpeluang untuk menonton filem Pieces of A Woman secara online di laman sesawang yang sangat popular di zaman pandemik COVID-19 ini iaitu di mana lagi kalau bukan di Netflix. Filem ini dilakanon oleh dua gandingan pelakon hebat kesukaan saya iaitu Shia LaBeouf yang sangat terkenal di dalam franchais filem Transformer yang melakonkan watak sang suami. Manakala Vanessa Kirby yang popular di dalam drama kesukaan saya iaitu The Crown sebagai Princess Margaret, memegang watak sang isteri di dalam filem epik ini.
Filem Pieces of A Woman ini sangatlah tragis kerana ia mengisahkan tentang bagaimana pasangan suami isteri yang sangat mencintai satu sama lain, yang mempunyai kehidupan yang bahagia, yang melengkapi diantara satu sama lain, yang membuatkan pasangan lain iri hati dengan keakraban mereka mengharungi kehidupan selepas bayi yang dikandung oleh Martha iaitu si isteri meninggal sejurus sahaja selepas dilahirkan. Martha dan Sean iaitu si suami hanya sempat mendakap dan menatap bayi mereka yang sihat beberapa minit sahaja sebelum bayi mereka berubah menjadi biru keungguan akibat masalah pernafasan. Sedih sangat. Teramat sedih.
Akibat dari itu, kehidupan mereka berdua berubah sekelip mata.
Dalam kesedihan yang teramat, emosi yang tidak stabil, masih tidak boleh menerima kenyataan, fikiran yang celaru dan masing-masing sedang mengumpul kekuatan dan cebisan-cebisan (pieces) diri, Martha dan Sean diasak dengan urusan mahkamah untuk mencari punca kematian anak mereka. Adakah kesalahan mereka ataupun kesalahan bidan (midwife) yang tidak berpengalaman tersebut. Mereka juga terpaksa melihat setiap hari bilik yang mereka hias khas untuk untuk anak mereka yang bakal lahir. Martha terpaksa mengepam dan membuang susu badan dia yang sepatutnya diberikan kepada anak dia, Sean terpaksa menelan segala perubahan yang berlaku ke atas isterinya dan dirumahnya.
Ekoran dari itu, Sean kembali kepada tabiat lamanya iaitu menghisap rokok, minum arak, menghisap dadah dan yang lagi teruk Sean telah melempiaskan nafsu dan marahnya kepada wanita lain. Martha juga mula menjadi tidak terurus, pergi ke kelab malam, berhiburan dengan lelaki lain, menjadi seorang yang sangat sarkastik, negetif dan pemarah.
Rumah tangga mereka rosak teruk, kehidupan mereka terumbang ambing. Tiada lagi Sean dan Martha.
........................................................................................................................................
Bapa saya merupakan seorang peminat fanatik arwah Tan Sri P. Ramlee. Dahulu semasa kami kecil, TV RTM1 selalu menyiarkan filem-filem arwah Tan Sri P. Ramlee pada hari jumaat malam. Jadi nak tak nak kami sekeluarga akan bersama-sama menonton filem-filem arwah Tan Sri P. Ramlee di ruang tamu rumah yang kecil itu. Ketika saya masih kecil walaupun sekarang masih lagi kecil, saya tidak mengerti sangat jalan cerita dan kisah yang dikisahkan di dalam filem Ibu Mertuaku ini. Saya tengok filem inipun kerana Abah, Mak, Along dan Abang saya tengok filem ini.
Filem Ibu Mertuaku yang dilakonkan oleh P. Ramlee sebagai Kassim Selamat dan juga sebagai Abang Osman Jailani, manakala Primadona Sarimah sebagai Sabariah ini merupakan salah satu filem kesukaan saya dalam banyak-banyak filem Tan Sri P. Ramlee kerana lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Kassim Selamat di dalam filem ini semuanya sedap-sedap belaka dan menangkap kalbu.
Filem ini juga merupakan sebuah filem yang sangat tragis. Dikuatkan lagi kesedihannya apabila filem ini dipenuhi dengan lagu-lagu yang meyanyatkan hati dan menyahdukan jiwa seperti Jangan Tinggal Daku, Jeritan Batinku dan Dimanakan Ku Cari Ganti. Saya yang masih mumayyiz ketika itupun boleh termenangis apabila menonton filem ini.
Filem ini mengisahkan tentang sepasang merpati dua sejoli yang sangat mencintai diantara satu sama lain walaupun berbeza darjat dan taraf. Pelbagai halangan dan rintangan yang mereka harungi untuk mempertahankan cinta sejati mereka, akhirnya Kassim Selamat yang merupakan hanya seorang ahli musik dan dari keluarga yang miskin dapat juga berkahwin dengan gadis pujaan hatinya iaitu Sabariah yang merupakan gadis sunti dari keluarga bangsawan yang kaya raya di Kuala Lumpur. Mereka berkahwin dan menjalani kehidupan yang bahagia, harmoni dan gembira sebagai pasangan suami isteri. Pada suatu hari Kassim Selamat mendapat khabar duka iaitu Sabariah kesayangannya sakit. Akibat tiada wang untuk menanggung kos perubatan isterinya, Sabariah dihantar pulang ke pangkuan keluarganya yang berada untuk berubat. Pada suatu hari yang renyai, Kassim Selamat mendapat khabar mendukakan iaitu Sabariah telah meninggal dunia.
Dunia Kassim Selamat terus menjadi gelap dan kelam. Tiada dunia lagi baginya.
Ekoran dari itu, Kassim Selamat tidak lagi meneruskan kariernya sebagai ahli musik dan bermain musik. Kassim Selamat berduka, bermuram dan berdurja. Kassim Selamat tidur sepanjang hari kerana tidak dapat menerima kenyataan nasibnya. Kasim Selamat menangis saban hari sehinggakan tiada lagi air mata untuk ditangisi sehingga membutakan matanya.
Kassim Selamat tidak lagi menyelamatkan dirinya.
....................................................................................................................................
Itulah yang dinamakan kehidupan. Kita selalu merancang, meyusun, mengimpikan, membayangkan dan mahukan yang terbaik, tersenang, termudah, terbagus dan banyak lagi 'ter' di dalam hidup kita. Bukankah kehidupan kita akan suram, kosong, kusam, tidak berwarna dan mematangkan, jika tiada liku-liku, lorong-lorong, lopong-lopong, longkang-longkang seperti ini di dalam hidup kita. Ye tak?
Selalunya apabila kita diuji dan diberi ujian, kita akan senang untuk menuju dan kearah melakukan perkara-perkara yang negatif di dalam hidup kita bagi mengaprisasikan, melempiaskan, meluahkan dan mengeluarkan rasa sakit, marah, sedih, kecewa, duka, lara, hampa, pedih, penat dan sengsara yang bersarang di dalam jiwa kita.
Ramai orang yang memilih jalan seperti Sean di dalam filem Pieces of A Women dan Kassim Selamat di dalam filem Ibu Mertuaku, dengan harapan untuk mengurangkan, menghilangkan, membekukan dan melupakan rasa-rasa dan perasaan-perasaan negatif itu.
Dari seorang yang loya dengan bau asap rokok menjadi seorang perokok tegar. Dari seorang yang menjaga kesihatan diri menjadi peminum arak dan pemabuk. Dari seorang yang berdisiplin menjadi seorang yang ketagihan pornografi. Dari seorang doktor menjadi seorang penagih dadah. Dari seorang yang rajin menjadi seorang yang super pemalas. Dari seorang kaki gym menjadi seorang kaki perempuan. Dari seorang yang positif menjadi seorang yang tidak tahu apa lagi erti positif dan dari seoarang yang bermatlamat menjadi seorang yang buntu. Banyak lagi tabiat dan perbuatan negatif yang menakutkan, yang tidak terfikir dek akal, yang tidak tersangkakan, yang tak terjangkakan seseorang itu boleh lakukan. yang boleh terbentuk, terhasil dan menjadi kebiasaan apabila berhadapan situasi-situasi negatif seperti ini di dalam hidup.
Walaupun kita tahu perkara itu salah dan bersalah, tetapi kita terpaksa biarkan kerana kesakitan, kemarahan, kesedihan, kekecewaan, kedukaan, kelaraan, kehampaan, kepenatan dan kesengsaraan menebal dan terus merajai jiwa yang terlara.
Akhirnya tabiat dan kebiasaan negatif ini menjadi satu dan sebati dengan diri.
Bangkit atau terus bungkam?
Comments
Post a Comment