BERUBAH



Berubah. Dari nakal ke sopan. Dari jahat ke baik. Dari perangai serupa iblis ke serupa malaikat. Dari malas ke rajin. Dari gila-gila ke matang. Dari berfikiran buruk ke berfikiran baik. Dari tertutup ke terbuka. Dari tidak peduli ke ambil peduli. Dari kehidupan barat ke kehidupan timur. Dari adik-adik ke abang-abang. Dari gila ke waras. Dari kedekut ke pemurah. Dari gemuk ke sihat. Dari selekeh ke macho dan yang paling penting dari negetif ke positif.




Saya akui bukan senang untuk berubah. Lagi-lagi jika apa yang ingin kita ubah itu sudah sebati dalam diri kita. Sudah menjadi darah daging. Sudah menjadi rutin, tabiat ataupun gaya hidup seharian kita. Sudah diamalkan setelah sekian lama. Sudah tersenarai dalam jadual harian hidup kita. Saya tahu bukan senang untuk berubah Tuan-Tuan dan Puan-Puan.

Betullah orang cakap, berubah itu sulit. Perlukan kekentalan hati, kecekalan, istiqomah dan matlamat yang jelas untuk berubah. Untuk mengubah diri dan berubah menjadi seseorang yang lebih baik bukannya mudah dan sekejap seperti:

1. Mengemas bilik. Mengubah bilik dari bilik yang bersepah, kotor, berhabuk dan berselerak kepada bilik yang bersih, kemas, teratur, wangi, indah dan selesa. Perubahan ini hanya memerlukan satu jam sahaja untuk melihat hasilnya.

2. Mandi. Mengubah diri dari seorang yang busuk, berpeluh, selekeh, masam, lesu dan lemau kepada seorang yang segar, kering, wangi dan bertenaga. Ianya hanya memerlukan tiga puluh minit sahaja untuk berubah.

3. Basuh kain. Mengubah pakaian-pakaian kita dari kotor, busuk, berdaki dan lembab kepada pakaian yang wangi, kering, berlipat kemas dan sedia untuk dipakai. Perubahan ini hanya memerlukan hanya satu jam setengah sahaja.

4. Tukar baju. Dalam masa satu minit sahaja kita boleh mengubah atau menukar baju kita dari yang basah kepada yang kering, kepada yang kotor kepada yang lebih bersih, dari pakaian sukan kepada baju kasual. Dari pakaian lama kepada pakaian bau kedai. Seminit sahaja untuk berubah.

5. Baca novel. Mengubah dari helaian ke helaian, dari bab ke bab hanya perlukan beberapa minit sahaja. Mengubah novel yang tidak seronok untuk dibaca kepada novel yang lebih menarik jugak memerlukan beberapa saat sahaja untuk mengubah.

Tetapi perubahan yang hakiki ataupun perubahan yang kekal untuk kehidupan yang lebih berkualiti dan seperti yang kita mahukan dan perubahan diri yang lebih baik dan menyeluruh memerlukan tempoh masa yang lama dan usaha untuk berubah yang berterusan. Perubahan ini tidak terhasil hanya dalam tempoh masa yang singkat seperti kita mengemas bilik, mandi, basuh kain, menukar baju dan menukar helaian novel.

Walaupun kadang-kadang usaha untuk kita berubah itu terbantut dipertengahan jalan ataupun terbantut diawal jalan ataupun perubahan yang kita rancang itu tidak berjalan-jalan pun. Apa yang penting adalah niat kita untuk berubah dan detik pertama kita bangkit untuk berubah ataupun melakukan perubahan itu yang paling bernilai. Dari seorang yang merokok secara sosial kepada seorang yang bebas rokok, dari seorang yang makan akibat tekanan kepada seorang yang mengawal pemakanan, dari seorang yang tidur selepas balik kerja kepada seorang yang bersukan selepas kerja, dari seorang yang berfikiran negetif dan bersangka buruk kepada seorang yang berfikiran positif dan terbuka, dari seorang yang suka berbelanja di Lazada dan Shoppee kepada seorang yang berhemat dalam berbelanja online, dari seorang yang suka online tidak tentu hala kepada seorang penulis blog online!



Kitalah penentu untuk berubah!










Comments

Popular Posts