SENYUM


Pada pagi Sabtu yang lepas 22 0700H Dis 18 merupakan salah satu hari bersejarah buat saya dan Beby Yellow iaitu moto kesayangan saya. Kami akan mengembara bersama-sama buat pertama kalinya keluar dari kesibukan kota metropolitan Kuala Lumpur untuk ke kampung halaman kami di Lekir, Perak. Perjalanan yang akan mengambil masa lebih kurang dua jam tiga puluh minit untuk ke destinasi jika tiada aral melintang. Lebih kurang jam 0700 saya dan beby yellow memulakkan perjalanan. Bismillah!





Pengembaraan kami berjalanan dengan lancar. Cuaca pada pagi itu juga baik. Tak panas dan tak hujan. Kedinginan pagi mengiringi saya sepanjang perjalanan. Ini membuatkan saya teringat semasa kembara saya di Canakkale, Turki. Walaupun sudah memakai jaket tebal, sarung tangan kulit kambing dan mufflers cotton semasa membonceng motosikal besar bersama sahabat Turki saya iaitu Furkan Gulmec, tetapi kedinginan pagi tetap menyapa diri saya. Sama seperti hari ini. 

Pada mulanya saya risau dan takut kenderaan dijalan raya banyak pada hari ini almaklumlah sekarang musim cuti sekolah ditambah pula cuti Hari Krismas. Tetapi rupanya trafik berjalan dengan lancar dari Tol Duta ke Tol Sungkai pada pagi tersebut. Kegembiraan saya untuk pulang ke kampung halaman bersama Beby Yellow telah disambut baik oleh cuaca dan lalu lintas. 

Saya di Canakkale, Turkey!


Selepas lebih kurang sejam perjalanan, pinggang pun dah sakit, perut pun sudah berbunyi kriuk-kriuk, montot pun dah kematu dan Beby Yellow pun dah panas, saya pun bersetuju dengan diri sendiri untuk berhenti di mana-mana gerai yang bertuah selepas keluar dari tol Sungkai untuk berehat sebentar. 

Selepas berpusing-pusing dan melihat-lihat di Pekan Sungkai yang damai itu. Saya pun memilih untuk makan pagi dan berehat sebentar di sebuah gerai Melayu yang terletak bersebelahan stesyen minyak Shell selepas lampu isyarat. Nasi Lemak Telur Mata dan Kopi O Kosong kurang manis menjadi pilihan hati.

Walaupun gerai ini kecil, sederhana dan seadanya tetapi apa yang menariknya gerai ini sentiasa penuh!  Pelanggan yang datang tidak henti-henti dan meja yang disediakan juga sentiasa penuh. Itulah salah satu sebab saya memilih gerai ini. Nenek saya cakap, kalau nak tahu gerai mana yang menyediakan makanan yang sedap dengan harga yang berpatutan tengoklah pelanggannya! Tips memilih tempat makan yang paling utama.

Sedang saya enak menjamah nasi lemak sambal tumis manis saya, tiba-tiba sepasang suami isteri dalam lingkungan umur abah dan mak saya datang menyapa. Rupa-rupanya mereka ingin duduk semeja dengan saya disebabkan meja yang lain telah penuh. Saya dengan keterbukaan hati menjemput mereka. 

"Anak dari mana nak ke mana ni?" sapa si pakcik suami. 
"Saya dari KL nak balik kampung di Lekir." balas saya. 
"Belajar ke kerja kat KL tu?" sapa si makcik isteri 
"Kerja. Askar...". Balas saya sambil tersenyum-senyum. 
"Tak macam askor punn..". balas si makcik isteri. 
Adeh.
Maka bermulalah sesi sembang meyembang antara kami dari segan-segan dan malu-malu ke bukan main mesra lagi. Dari isu-isu kecil kepada isu-isu tahap menteri pertahanan. Sampailah tak sedar air kopi o saya sudah habis. Pinggan nasi lemak saya dah kering. Saya pun dengan berat hati minta izin kepada makcik dan pakcik untuk berunsur dulu. Perjalanan saya masih jauh. Lagipun takut hujan pula jikalau lambat-lambat.

Disebabkan hari ini mood saya baik, emosi saya stabil, saya seronok nak pulang ke kampung, cuaca pun sangat baik, sepanjang perjalanan tiada perkara-perkara tidak enak berlaku, saya pun kekenyangan kesenangan, makcik dan pakcik pun baik, rajin melayan saya dan teman saya makan pada pagi ini. Saya pun dengan senang hati membayar semua makanan dan minuman di meja kami tadi. Saya rasa terpanggil untuk melakukan kebaikan pada pagi ini. 

"Betullah orang cakap, jika kita bermula pagi kita dengan gembira maka sepanjang hari tersebut akan dipenuhi dengan kegembiraan. Lagi satu. Jika kita memberi kebahagiaan, keseronokan dan kegembiraan pada orang lain. Orang lain akan memberi kebahagiaan, keseronokan dan kegembiraan pada diri kita."



*Tapi rupanya tidak.



Comments

Popular Posts