SYAFAKALLAH


"Kusangkakan panas berpanjangan
Rupanya gerimis, rupanya gerimis mengundang 
Dalam tak sedar ku kemalangan."




Ye betul. Tepat sekali. Yup, saya kemalangan. Selang beberapa minit selepas saya kekenyangan makan pagi yang enak di gerai, selepas saya melambai mesra kepada pakcik dan makcik yang ramah di gerai dan selepas saya bermurah hati membayar semua makanan dan minuman di meja kami kerana saya merasa gembira pada pagi ini. Saya merasa amat seronok dan bersyukur di dalam hati malah jika ada siapa-siapa perasan akan terlihat jelas senyuman terukir meleret di muka saya kerana saya dapat pulang ke kampung halaman menaiki Beby Yellow motor baru saya pada pagi ini untuk berjumpa dengan keluarga saya. Sedar-sedar saya sudah terbaring meniarap di atas jalan raya.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya."
(Al-Baqarah: 286)

Kronologi kemalangan ini terbahagi kepada empat. Iaitu:

AhPek Cina
Kenderaan pada pagi itu tidak banyak. Jalan lengang, hanya dipenuhi pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan jalan. Angin sepoi-sepoi bahasa. Saya seronok membonceng Beby Yellow. Tiba-tiba dihadapan saya ada sebuah kereta Hilux hitam. Disebabkan jalan kosong di laluan kiri dan kanan jalan saya pun membuat keputusan untuk memotong Hilux tersebut. Sedang saya memecut Beby Yellow untuk memotong Hilux tersebut disebelah kanan jalan, tiba-tiba Hilux itu juga ingin membelok ke sebelah kanan secara mengejut dan tidak memberi lampu isyarat untuk ke kanan. Saya dalam kelajuaan memecut dapat menyedari perubahan tiba-tiba Hilux tersebut. Saya amat bernasib baik kerana berjaya menekan brek dengan pantas dan mengubah laluan motor saya sedikit. Tetapi kepala Beby Yellow tetap juga terkena belakang kereta Hilux. Kami berdua terbaring menyembah bumi dan dapat merasa kehangatan jalan tar di Sungkai. Rupanya pemandu Hilux itu merupakan seorang lelaki berbangsa Cina dalam lingkungan umur 40-an. AhPek tersebut banyak kali mengucapkan maaf. Dia memberitahu dan menyuruh saya untuk ke klinik kesihatan dan bengkel motor di hadapan. Dia minta untuk saya bawa motor perlahan-lahan dahulu untuk pergi ke klinik kesihatan untuk mencuci luka saya dan pergi ke bengkel untuk membaiki kerosakan motor saya.

Pakcik Bengkel Motor.
Dengan luka yang masih terbuka dan berdarah di tapak tangan, lutut, siku dan kaki, saya gagahkan diri saya untuk membonceng motosikal saya yang telah patah tempat pemijak kaki di sebelah kanan, pecah cermin sisi di sebelah kanan, pecah dan patah kedua-dua lampu hadapan motor saya dan beberapa calar teruk di badan motor saya untuk mencari bengkel motor yang berdekatan. Akhirnya saya ternampak sebuah bengkel motor usang milik pakcik berbangsa India. Dia cakap kedai dia tiada barang-barang yang saya mahukan dan semua barang-barang yang saya mahukan ada di Teluk Intan. Saya teruskan membonceng motosikal saya dengan hati yang lara.

Makcik Klinik Kesihatan.
Saya putus asa untuk mencari bengkel motosikal. Lagipun motor saya masih elok dan boleh dibawa seperti biasa. Jadi saya berkeputusan untuk mencari klinik yang berdekatan untuk mencuci luka saya sebelum saya pulang dan tiba di rumah. Semua klinik desa dan klinik kesihatan disepanjang jalan dari Sungkai ke Teluk Intan tutup. Saya pun tidak faham apakah fungsi klinik-klinik yang besar ini jikalau dibina hanya untuk tutup sahaja. Biasalah orang tengah sakit, emosi pun tidak stabil. Akhirnya saya ternampak Pejabat Kesihatan Teluk Intan. Saya pun cepat-cepat masuk ke dalam pintu gerbang dan terus ke pejabat pengawal. Makcik berbangsa India menyambut saya. Makcik cakap di klinik kesihatan tiada orang dan tak boleh cuci luka, adik boleh pergi Klinik 1Malaysia di depan sana untuk cuci luka, ramai orang cuci luka di sana. Saya pun terus memecut ke sana.

Pembantu Perubatan.
Sampai-sampai di Klinik 1Malaysia tiada orang. Kosong. Nasib baik ada seorang jururawat dan seorang pembantu perubatan bertugas. Merekalah yang rajin melayan kerenah saya. Pembantu perubatan pun baik. Saya minta tolong cucikan luka saya perlahan-lahan dan berhemah-hemah kerana saya ni tidak tahan sakit. Untung tiada pesakit lain yang datang, jadi bolehlah saya bermanja-manja lebih dengan jururawat di sini juga. Selepas cuci, selepas balut, selepas mendapat suntikan dan selepas mengambil ubat-ubatan secara percuma saya pun beredar. Masa ini lah saya terkenang kepada bekas perdana menteri kita. Ada juga jasa beliau kepada saya. 


Kesimpulannya di sini, saya nak cakap Allah boleh tarik nikmat yang Dia pinjamkan kepada kita sekejap sahaja. Pagi saya gembira. Tengahari saya sedih. Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur kerana saya dapat sampai di hadapan rumah keluarga saya dan dapat berjumpa dengan keluarga saya dengan selamat dan masih bernyawa. Alhamdulillah.

Luka di kaki

Luka di tapak tangan

Luka di siku.

Comments

Popular Posts