FILEM REVIEW: ANNIHILATION


Assalamualaikum semua. Baru-baru ini saya baru berpeluang untuk menonton filem Annihilation yang merupakan filem pilihan pertama oleh Barack Obama dalam carta pilihan filem bagi tahun 2018 beliau. Disebabkan carta bekas presiden Amerika Syarikat tersebut yang telah menjadi viral di media sosial, jadi saya pun bersemangat untuk menonton filem ini dan saya bernasib baik kerana filem ini sudah masuk dalam Netflix. Hujung minggu saya terisi dengan menonton filem hebat ini.



Kalau diikutkan saya merupakan seorang yang agak memilih untuk menonton filem atau drama ataupun drama bersiri. Saya risau filem yang saya bakal tonton tersebut tidak berkualiti, membosankan, tidak memberi impak yang positif kepada diri saya, membazirkan masa emas saya dan tidak memberi kesan kepada diri saya. Tetapi Filem Annihilation ini berjaya untuk menepis segala perspektif tersebut.


Filem ini dibintangi oleh lima pelakon wanita hebat iaitu Natalie Portman, Jennifer Jason Leigh, Gina Rodriguez, Tuva Novotny dan Tessa Thompson. Mereka berlima merupakan saintis hebat yang mempunyai latar belakang yang berbeza dan sejarah hidup yang tersendiri. Mereka terpilih untuk menyertai ekspedisi ini kerana mereka dikatakan sebagai "Damaged Good" iaitu seseorang yang hebat, berpelajaran dan profesional tetapi tidak dapat menjalani kehidupan yang normal sepenuhnya disebabkan ganguan emosi akibat terkesan dari perkara-perkara yang tidak diingini terjadi dalam hidup mereka. Mereka tidak ada sebab untuk teruskan hidup atau untuk hidup lama di dunia ini. Jadi mereka dengan rela hati mewakafkan diri untuk menyertai ekspedisi yang berbahaya ini. 



Natalie Portman yang memegang watak utama sebagai Dr Lena, Biologist. Dr Lena merupakan isteri kepada Kane yang merupakan seorang askar berpangkat sarjan. Suami Dr Lena merupakan satu-satunya ahli ekspedisi yang terselamat dari Environmental Disaster Zone dan berjaya pulang dan berjumpa Dr Lena di rumahnya setelah hampir setahun menghilangkan diri. Kane telah bersetuju untuk menyertai ekspidisi yang berbahaya ini setelah mengetahui isterinya Dr Lena curang kepadanya dan menjalinkan hubungan sulit dengan rakan sekerjanya walaupun perkahwinan dan perhubungan mereka sangat bahagia.


Filem Sci-fi ini sangat berbaloi untuk ditonton. Ia berjaya membuka minda saya dan membuat saya untuk meminati dan menonton filem-filem sci-fi yang bermutu yang lain.

Comments

Popular Posts